PPN Fasa 2 bukan kebebasan mutlak – Jalaluddin
JALALUDDIN (kanan) menyampaikan bakul makanan kepada golongan yang terkesan anjuran Pertubuhan Malaysia Thamizhar Sangam di Sentul.

PPN Fasa 2 bukan kebebasan mutlak – Jalaluddin

WARGA kota diingatkan untuk sentiasa mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) menjelang perpindahan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada Fasa 1 ke Fasa 2, Pelan Pemulihan Negara (PPN)

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, meskipun penduduk di Kuala Lumpur dan Putrajaya sudah melangkaui peratusan suntikan dua dos yang diperlukan untuk berpindah ke Fasa 2, semua pihak perlu berwaspada dan mengekalkan keadaan dan suasana yang ada.

“Ini bukanlah kebebasan mutlak yang diberikan oleh kerajaan tetapi ini adalah kejayaan bagi mereka dan mengekalkan disiplin diri bagi mengekalkan penjarakan sosial.

“Mereka juga harus mengekalkan SOP apatah lagi dengan hubungan atau pergaulan yang tentunya tidak boleh menyumbang kepada penularan dan peningkatan COVID-19 di tiga Wilayah Persekutuan ini,” katanya kepada Wilayahku selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bakul Makanan anjuran Pertubuhan Malaysia Thamizhar Sangam di Sentul hari ini.

Katanya, dengan perpindahan ke Fasa 2, ia merupakan satu kejayaan bagi wargakota Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang sebelum ini mencatatkan mencatatkan jumlah kes positif yang tinggi dan pada masa sama menjaga disiplin bagi mengurangkan potensi dijangkiti wabak tersebut.

Beliau turut mengharapkan kepada semua warga kota agar sentiasa mengekalkan disiplin bagi mengurangkan jangkitan pandemik tersebut.

“Kita mesti memastikan semua ini dapat diatasi serta menjadikan (COVID-19) sebagai budaya hidup kepada mereka supaya penyakit atau virus ini dapat dihentikan serta merta,” katanya.-WILAYAHKU

CATEGORIES