Berita

Agihan bantuan mesti berteraskan konsep Keluarga Malaysia

ISTERI Menteri Wilayah Persekutuan, Datin Seri Shamsiah Md Yassin (dua dari kanan) diiringi Penaung Srikandi PVATM WP, Datuk Seri Zurainah Musa (kanan sekali) menyampaikan Bantuan Bakul Makanan Prihatin kepada Pengerusi Srikandi PVATM WP, Zabidah Harun (kiri) dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Bakul Makanan bertempat di Rumah Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, di sini hari ini.
- Diterbit 10 September 2021 5:09 AM MYT

SUMBANGAN dan agihan bantuan kepada kumpulan sasar mestilah bersifat menyeluruh agar ia selari dengan konsep Keluarga Malaysia seperti diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Isteri Menteri Wilayah Persekutuan, Datin Seri Shamsiah Md Yassin berkata, dalam keadaan hari ini sememangnya ramai yang terkesan dan kehilangan pekerjaan malah banyak program-program kebajikan dianjurkan bagi membantu golongan yang terkesan dengan pandemik ini.

“Menjadi bukti ada bahawa ada dalam kalangan kita tanpa mengira organisasi dan latar pertubuhan masih prihatin akan kesusahan yang sedang dialami orang lain dalam pandemik ini. Kita juga sedar ramai dalam kalangan rakyat yang kehilangan sumber pendapatan, kesusahan itu seperti datang bertimpa-timpa hidup bagai jatuh ditimpa tangga.

“Program kebajikan ini mestilah sentiasa dipergiatkan setiap bantuan yang disampaikan mestilah bersifat adil dan saksama dan tidak terhad kepada persatuan dan kumpulan tertentu kepada masyarakat, dan mestilah bersifat menyeluruh melangkaui perbezaan bangsa, agama mahupun fahaman politik,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bantuan Bakul Makanan kepada Srikandi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kata Shamsiah lagi, pihaknya turut memuji langkah yang diambil oleh pemimpin negara dalam menjaga kebajikan rakyat terutama veteran tentera ketika berhadapan dengan masalah pandemik COVID-19.

“Saya mearasa bangga kepada para pemimpin negara kita kerana memandang begitu jauh ke hadapan. Kebajikan golongan tentera misalnya mesti menjaga keutamaan seperti mana yang telah kita lihat seperti hari ini dimana kebajikan veteran diberi perhatian oleh persatuan dan kerajaan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) kerana turut menyumbangkan bantuan berupa 150 pek kotak makanan kepada Srikandi PVATM Wilayah Persekutuan.

“Kita sepatutnya merasa bertuah kerana saya telah dimaklumkan kerana YWP turut memberi peranan yang aktif di dalam pelbagai bidang termasuklah kebajikan, pendidikan, ekonomi, sosial, teknologi dan agama kepada warga Wilayah Persekutuan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Datuk Zaizalnizam Zainun dan Penaung Srikandi PVATM, Datuk Seri Zurainah Musa, Pengerusi PVATM Wilayah Persekutuan, Brigadier Jeneral Bersara Datuk Shamsuddin Abas dan Pengerusi Srikandi PVATM Wilayah Persekutuan, Zabidah Harun.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas