Berita

PPKSRA ganti UPSRA nilai murid tingkatan satu

JAWI menetapkan kaedah PPKSRA bagi menggantikan UPSRA yang dibatalkan tahun ini.
- Diterbit 15 Julai 2021 5:48 AM MYT

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan melaksanakan kaedah Penilaian dan Pentaksiran Kurikulum Sekolah Rendah Agama (PPKSRA) bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) bagi pemilihan pelajar ke tingkatan satu bagi tahun 2022.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, penggantian tersebut dibuat susulan peningkatan kes COVID-19 di Wilayah Persekutuan serta tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Berfasa yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

“JAWI membuat ketetapan bagi membatalkan Peperiksaan UPSRA yang dijadualkan pelaksanaannya pada 9 hingga 18 Ogos 2021,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Katanya lagi, pentaksiran tersebut tidak akan menjejaskan penilaian terhadap penguasaan dalam pembelajaran serta kemenjadian murid kerana ia boleh dinilai melalui pelbagai kaedah.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan buat guru serta ibu bapa yang membantu memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan dengan lancar.

“JAWI juga ingin merakamkan penghargaan kepada guru-guru yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan kaedah yang bersesuaian dalam menyampaikan PdP kepada murid-murid dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tidak lupa juga penghargaan buat ibu bapa yang telah bersama-sama membantu menjayakan sesi pembelajaran anak-anak di rumah,” katanya. – WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas