Berita

Kebun Bandar ditambah baik – Shahidan

SHAHIDAN melihat hasil tanaman kebun bandar penduduk PA Seri Perlis baru-baru ini. SHAHIDAN melihat hasil tanaman kebun bandar penduduk PA Seri Perlis baru-baru ini.
- Diterbit 17 September 2021 3:22 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan menyalurkan peruntukan bagi menambah baik program kebun bandar di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, peruntukan itu adalah untuk menambah baik infrastruktur sedia ada supaya dapat meningkatkan lagi hasil kebun tersebut.

“Apa yang telah dibuat cukup baik. Memandangkan kawasan yang ada adalah kecil, saya cadangkan supaya ia dibuat secara bertingkat.

“Mungkin kita akan tambah para tiga tingkat dan saya akan memberikan peruntukan untuk mereka gunakan tanah ini sepenuhnya.

“Contohnya, pokok terung, di kebun ini ada kira-kira 1,200 batang pokok dan jika pakai kaedah bertingkat, kita akan dapat 3,600 pokok,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tiga kebun bandar di Perumahan Awam Seri Perlis, Kebun Komuniti Sungai Bunus dan Kebun Bandar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah.

Mengenai kawasan-kawasan yang pernah dimajukan sebagai kebun bandar tetapi ia kemudian ditinggalkan, Shahidan berkata, tindakan lanjut akan diambil untuk memperbaiki kawasan berkenaan.

“Saya akan mengadakan lawatan dengan Datuk Bandar, kita akan perbaiki dan memajukan lagi kawasan itu.

“Bagi saya, yang baik itu perlu diteruskan dan mesti ada penambah baikkan untuk memberi manfaat kepada warga kota,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas