Berita

Inisiatif MPP bantu asnaf, B40

PESERTA melihat cara dan teknik memasak oleh cef profesional yang mengajar menu
- Diterbit 27 Disember 2019 5:09 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

SELAYANG – Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan Sub Zon 2 Parlimen Bandar Tun Razak (BTR) dekat sini mengambil langkah awal untuk membantu golongan miskin bandar dengan menyediakan Program Dapurku Sa Yang baru-baru ini.

IDRIS

Pengerusinya, Idris Moktar berkata, kursus insentif sehari yang dianjurkan itu juga sejajar dengan hasrat Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad yang mahu golongan sasar berjaya dan mampu meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

“Sempena program ini, 30 peserta terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40), asnaf dan ibu tunggal dari Sub Zon 2 BTR.

“Konsep kita adalah beri pancing bukan ikan supaya golongan sasar boleh berdikari dan tidak mengharapkan sumbangan semata-mata,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Mengulas tentang penganjuran program itu, Idris memberitahu, kesemua peserta didedahkan dengan teknik masakan serta pelbagai menu baharu berkonsepkan tradisional moden supaya ia boleh digunakan untuk berniaga.

Sementara itu, peserta yang merupakan ibu tunggal, Suratnih Rajiman, 67, memberitahu, dia menyertai kursus insentif itu bagi mendapatkan pengalaman tentang teknik dan cara-cara memasak dengan lebih teliti.

“Cef ajar cara untuk memastikan pati yang disediakan tahan lebih lama seperti rempah dibuat menggunakan minyak dan bukan air.

“Pada masa ini, saya fokus untuk sediakan hidangan kepada keluarga dahulu dan selepas mendapat sukatan yang betul barulah saya berniaga,” katanya yang turut merancang untuk berniaga.

Seorang lagi peserta, Nor Safinaz Noraini Abdullah, 43, pula berkata, ilmu yang diperoleh pada program itu akan digunakan sebaik mungkin bagi mengembangkan perniagaan nasi lemak pada masa ini.

Ujarnya yang berpengalaman 14 tahun berniaga, kursus yang diikuti itu membolehkannya mendapat maklumat tentang bahan-bahan baharu yang boleh digunakan dalam masakan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas