Berita

PPj laksana operasi sanitasi, cegah Covid-19

JBPM melihat kawasan persekitaran sekolah sebelum melakukan disinfeksi.
- Diterbit 16 Oktober 2020 10:22 AM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya melaksanakan kerja-kerja sanitasi membersihkan enap cemar di Sekolah Kebangsaan Presint 8 (1), Putrajaya, 9 Oktober lalu.

PPj menerusi satu kenyataan media menyebut, operasi sanitasi itu dilaksanakan bagi mencegah serta mengawal penularan jangkitan Covid-19 terutama melibatkan kalangan pelajar seterusnya kawasan Putrajaya secara keseluruhan.

Katanya, langkah yang diambil, merupakan sebahagian inisiatif prihatin Kementerian Wilayah Persekutuan, PPj dan agensi terlibat dalam usaha membendung penularan Covid-19 bagi gelombang ketiga yang kini semakin membimbangkan.

“Usaha ini selaras dengan teras Cakna Keselamatan, Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin yang bertujuan memastikan keselamatan serta kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan sentiasa diutamakan dan terpelihara.

“Operasi melibatkan seramai 15 anggota Pejabat Kesihatan WP Putrajaya dan PPj. Kerja-kerja dilakukan termasuk disinfeksi dilaksanakan secara menyeluruh di kawasan sekolah merangkumi bilik darjah, loker, koridor, bilik guru, tandas selain dataran, hand railing semua aras bangunan blok A, B dan C,” kata kenyataan itu.

Di samping itu, katanya, operasi sanitasi itu akan diteruskan lagi pada hari-hari  berikutnya dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Putrajaya serta Alam Flora Sdn Bhd.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas