KPJ Kajang Specialist Hospital anjur Kempen ‘Care For Life’
SALAH seorang pengunjung di Dataran Putrajaya menunjukkan kit pembersihan yang diterima daripada KPJ Kajang Specialist Hospital.

KPJ Kajang Specialist Hospital anjur Kempen ‘Care For Life’

MELIHAT jumlah kes positif baharu COVID-19 yang semakin meningkat dan  menimbulkan kebimbangan, KPJ Kajang Specialist Hospital tampil dengan inisiatif ‘Care For Life’ pada 5 September lalu.

Menurut jurucakapnya, Nur Ain Liyana Zubir, objektif utama kempen tersebut diadakan bagi memberi kesedaran dan mendidik masyarakat tentang kepentingan penggunaan pelitup muka serta amalan kekerapan mencuci tangan, berkongsi maklumat sahih berhubung persoalan yang timbul berkenaan ancaman virus COVID-19.

“Seramai 16 orang kakitangan daripada Jabatan Perkhidmatan Rehabilitasi KPJ Kajang Specialist Hospital terlibat dalam menjayakan kempen ini.

“Sebanyak 400 kit ‘Care For Life’ yang mengandungi kit pembersihan dan risalah perkhidmatan pemulihan diedarkan kepada orang awam yang berada di sekitar Dataran Putrajaya. Edaran bermula pukul 5.30 petang sehingga 6.30 petang,” ujarnya.

Nur Ain Liyana memberitahu, pihaknya turut mengambil peluang dengan melakukan demonstrasi enam langkah pembersihan tangan yang betul kepada orang awam.

Ujarnya, sambutan yang diberikan orang awam semasa program dilaksanakan juga amat menggalakkan.

“Nasihat kami kepada orang ramai adalah ‘kita masih belum menang dalam peperangan COVID-19 ini. Oleh itu, amalan kebersihan dan menjaga jarak sosial perlu dititikberatkan.

“Kita perlu sentiasa berwaspada dan saling mengingati antara satu sama lain. Ingatlah jika kita alpa, akibatnya bukan sahaja mengancam pada diri kita dan keluarga malah seluruh rakyat Malaysia juga akan terpalit bersama,” tegasnya.

CATEGORIES