Atlet Wilayah

Nursyaqirah jadikan hoki lubuk ‘cari makan’

NURSYAHIRAH (kiri) lincah di padang.
- Diterbit 16 Oktober 2020 10:45 AM MYT

PEMAIN pertahanan pasukan hoki Wilayah Persekutuan, Nursyaqirah Kassim, 21, mengakui dia bukan sahaja menganggap hoki sebagai hobi semata-mata namun turut menjadikannya lubuk mencari makan.

Percaya sukan yang satu ini mampu memberikan masa hadapan yang cerah, dia tidak teragak-agak untuk memberi sepenuh tumpuan dan perhatiannya kepada dunia yang dicintainya sejak kecil ini.

“Selain daripada menjadi pemain sepenuh masa, saya juga merupakan jurulatih hoki kepada pelajar di Sekolah Menengah Perempuan Methodist, Kuala Lumpur,” ujarnya kepada Wilayahku.

Bangga diberi amanah untuk mendidik pelajar dengan mempersiapkan mereka untuk menyertai sebarang kejohanan hoki antara zon, besar harapannya untuk melihat anak didiknya menjadi pemain pelapis suatu hari nanti.

“Jika saya tidak lagi bergelar pemain nanti, saya sememangnya berniat untuk menghabiskan masa sebagai seorang jurulatih yang berpengalaman. Itu cita-cita saya pada masa hadapan dalam sukan ini.

“Hal itu juga membuatkan saya tidak pernah lelah untuk memperbaiki kelemahan setiap kali selepas perlawanan agar ia tidak kembali berulang,” ujar pemain kelahiran Sri Petaling, Kuala Lumpur ini.

Pernah bermain untuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), anak bongsu daripada empat orang adik-beradik ini menjadikan kapten skuad hoki wanita negara, Siti Noor Amarina
Ruhani sebagai idola.

“Pada pandangan peribadi, saya amat mengagumi rentak permainannya dan kehebatannya mencipta sesuatu di luar jangkaan selain dia juga bermain di posisi pertahanan sama seperti saya, ujar Nursyaqirah lagi.

Bercerita lanjut tentang perkembangan terbaharunya, dia berharap terpilih untuk beraksi dalam Sukan Malaysia 2020 (Sukma) yang bakal berlangsung di Johor pada tahun hadapan.

“Sama seperti orang lain, saya berharap virus COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini cepat beransur pergi dan segalanya berjalan seperti biasa,” ujarnya yang mengakui
banyak kejohanan terpaksa dibatalkan disebabkan virus tersebut.

Pencapaian Nursyaqirah 

2020 – Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (Tempat Ketiga)
2018 – Sukma Perak 2018 (Tempat Ketiga)
2018 – Kejohanan Piala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (Tempat Kedua)
2017 – Liga Hoki Wanita (Tempat Kedua)

Instagram: @nsyaqirxh

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas