Berita

PPj lakar sejarah terima sijil ISO

ANTARA wakil PPj yang hadir menerima sijil penghargaan pencapaian pensijilan ISMS baru-baru ini.
- Diterbit 5 Januari 2024 11:20 AM MYT

KERJA keras warga kerja Perbadanan Putrajaya (PPj) merupakan faktor utama kejayaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memperolehi pelbagai pencapaian membanggakan dalam tempoh beberapa tahun ini.

PPj sekali lagi melakar nama apabila menerima Sijil Penghargaan Pencapaian Pensijilan bagi Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) MS ISO/EC 27001:2013 sempena Majlis SIRIM Industri 2023 peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, penganugerahan tersebut adalah bukti komitmen PBT itu menuju ke arah tahap integriti tertinggi dan budaya beretika dalam operasi pentadbirannya.

“Pensijilan ISMS MS ISO/EC 27001:2013 merupakan satu piawaian antarabangsa yang perlu dipatuhi dalam usaha PPj untuk menguruskan dan melindungi maklumat sensitif organisasi.

“Di dalam pensijilan ini, PPj telah berjaya mematuhi kesemua 10 klausa dan 114 kawalan sebagaimana yang digariskan di dalam keperluan standard pensijilan,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Fadlun berkata objektif pensijilan tersebut adalah untuk mengurus dan melindungi keselamatan maklumat bagi Sistem Kewangan Dan Perakaunan Perbadanan Putrajaya selaras dengan keperluan dan kehendak pemegang taruh (stakeholders).

“la juga menekankan kepada konsep atau prinsip keselamatan maklumat iaitu pemeliharaan terhadap kerahsiaan, integriti dan kebolehsediaan maklumat agar dapat dicapai dengan lebih selamat dan terjamin.

“Langkah ini bagi memastikan maklumat yang sensitif dilindungi secukupnya daripada akses atau kecurian tanpa kebenaran sekali gus membolehkan PPj memacu kemajuan teknologi negara yang selanjutnya.

“Pensijilan ini juga mencerminkan komitmen teguh kami terhadap keselamatan maklumat yang penting kepada PPj untuk menawarkan penyelesaian teknologi bertaraf dunia kepada pelanggan kami dengan keyakinan terhadap keselamatan dan privasi data mereka,” ujarnya.

Selain itu, Fadlun memaklumkan bagi memantapkan lagi operasi, pasukan Jawatankuasa Kerja ISMS telah ditubuhkan terdiri daripada pelbagai peringkat personel yang berpengalaman dalam membantu melaksanakan pengurusan ISMS, mengenal pasti, menilai serta menguruskan risiko berkaitan keselamatan maklumat sekali gus memastikan organisasi bersedia sepenuhnya dalam apa jua keadaan.

Beliau berkata pihak PPj sentiasa komited dalam meluaskan skop pensijilan dengan sasaran seterusnya iaitu untuk mendapatkan pensijilan versi terbaharu ISMS iaitu pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat ISO 27001:2022 pada tahun 2024.

“Susulan pensijilan yang diterima, kami akan terus komited terhadap keselamatan maklumat, sebagai aspek penting dalam memacu gerak kerja selaras dengan pertumbuhan dan perubahan teknologi semasa.

“Semoga kejayaan ini akan menjadi pemangkin dan pembakar semangat kepada seluruh warga Perbadanan Putrajaya khususnya untuk terus melakar kejayaan yang cemerlang pada masa hadapan,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas