Biz

Pos Malaysia naikkan kadar pos komersial kuat kuasa 1 Februari

PEKERJA Pos Malaysia mengendalikan mel yang perlu dihantar kepada pelanggan.
- Diterbit 31 Januari 2020 9:23 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Bhd. (Pos Malaysia) melakukan semakan semula kadar pos komersial berkuat kuasa 1 Februari ini seiring dengan peningkatan kos operasi dan peningkatan struktur kadar antarabangsa oleh Kesatuan Pos Sedunia (UPU).

Kali terakhir semakan semula kadar pos dilakukan pada tahun 2010.
Pos Malaysia dalam kenyataannya berkata, kadar pos yang baharu ini hanya melibatkan mel berdaftar, mel komersial dan bungkusan kecil bawah dua kilogram.

“Kadar setem komersial akan dinaikkan sebanyak 70 sen menjadi RM1.30 dan mel berdaftar komersial naik 90 sen menjadi RM3.10,’’ kata kenyataan itu.

Jumlah pengguna komersial Pos Malaysia mewakili 95 peratus daripada semua pengguna mel dalam negara dengan hanya lima peratus terdiri daripada pengguna mel individu.

Kenyataan itu berkata, Pos Malaysia akan terus menawarkan kadar pos yang berpatutan untuk pengguna mel individu dan pelanggan bukan komersial dengan kadar setem semasa bernilai 60 sen.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md. Najib Syed Md. Noor berkata, kadar baharu pos itu membolehkan syarikat berkenaan mengendalikan kos dengan lebih berkesan untuk menyediakan perkhidmatan kepada lebih sembilan juta alamat di seluruh negara di bawah Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO).

“Pada masa sama, kami berhasrat menyelaraskan pertumbuhan syarikat seiring dengan perkembangan ekonomi digital melalui penerapan inovasi untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan kepuasan pelanggan.

“Adalah perlu untuk mewujudkan pelan pertumbuhan yang agresif agar kekal relevan dalam industri yang menuju ke arah era Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Syed Md. Najib berkata, Pos Malaysia akan terus melabur dalam infrastruktur pendigitalan dan e-Dagang sebagai sebahagian daripada agenda transformasi bagi meningkatkan pres­tasi Pos Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan pos dengan jangkauan terluas di negara ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas