Personaliti

Bibi Diyana tidak gentar bersaing

- Diterbit 1 Februari 2020 7:03 AM MYT

SUNGGUHPUN baru berusia 25 tahun, gadis manis yang dikenali sebagai Bibi Diyana Abdul Kadir bijak mengatur strategi perniagaan sendiri.

Memilih untuk memasarkan kanta lekap dan hijab di bawah label Alana Hq, ternyata sambutan terhadap produk yang dipasarkan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

“Ketika berhasrat untuk menceburi bidang perniagaan, saya bertekad untuk memilih bidang fesyen kerana terlalu obses dengan kecantikan.

“Sejujurnya saya tidak gentar untuk bersaing dengan lambakan jenama fesyen yang ada di pasaran kerana saya yakin setiap wanita khasnya sukakan kecantikan,” ujar anak sulung daripada dua orang adik-beradik ini.

Pantas merencana masa hadapan, gadis kelahiran Alor Setar, Kedah ini mengakui lebih selesa melebarkan perniagaan di Kuala Lumpur kerana baginya pasaran di bandar raya ini lebih besar.

“Segala-galanya ada di Kuala Lumpur ini dan rugi sekiranya tidak menggunakan peluang yang ada di depan mata. Yang pasti, kita perlu pantas bertindak agar tidak ketinggalan,” ujarnya.

Tambah gadis kacukan Pakistan ini lagi, dia juga sedang merancang untuk mengukuhkan lagi bidang perniagaan dengan menguatkan lagi label miliknya itu.

“Dalam bidang perniagaan, pemasaran adalah perkara yang paling utama. Jadi saya perlu memikirkan strategi agar produk kekal relavan dan sentiasa mendapat sambutan,” ujarnya.

Ditanya tentang sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang bakal disambut pada Februari ini, menurut selebriti Instagram ini, dia bersyukur berpeluang tinggal di Kuala Lumpur.

“Semuanya ada di sini. Jika ada masa terluang, saya suka menghabiskan masa bersama rakan-rakan di lokasi menarik sekitar Kuala Lumpur contohnya baru-baru ini saya menghabiskan masa dengan mengunjungi Muzium Selfie, Kuala Lumpur,” ujarnya yang tinggal di Hulu Kelang.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas