Biz

Sedia pembiayaan mikro RM100 juta

MOHAMED Azmin dan Salahuddin menyaksikan majlis memetrai perjanjian diantara Petronas yang diwakili Tengku Muhammad Taufik dan Agrobank diwakili Ahmad Shahril di Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 31 Januari 2020 9:20 AM MYT

KUALA LUMPUR – Syarikat Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Agrobank menjalinkan kerjasama strategik bagi menawarkan pembiayaan mikro bernilai RM100 juta kepada usahawan mikro dalam kalangan golongan B40.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Arifin berkata, pelaburan pembiayaan itu akan disalurkan dalam tempoh lima tahun dengan diuruskan pihak Agrobank melalui program kemudahan pembiayaan mikro B40.

“Memandangkan sektor pertanian dan industri asas tani adalah pemang­kin penting dalam pembangunan negara, kerajaan menumpukan ke­pada pembangunan mapan bagi mengukuhkan kapasiti dan kemahiran komuniti terutamanya kumpulan B40.

“Petronas yakin melalui inisiatif ini, usaha memperkasakan B40 melalui sektor pertanian mampu melahirkan usahawan mahir yang komprehensif dan secara tidak langsung memacu pertumbuhan sumber manusia, inovasi teknologi dan produktiviti pertanian negara,” katanya.

Pada majlis menandatangani perjanjian tersebut Petronas diwakili Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz manakal Agrobank diwakili Ke­tua Pegawai Perniagaannya, Ahmad Shahril Mohd. Shariff.

Hadir sama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertanian dan Industri Asas tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Radzi Jidin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, pembiayaan itu akan diberikan sehingga 100 peratus daripada keseluruhan operasi pada kadar faedah terendah bank sebanyak 2 peratus setahun.

“Matlamat inisiatif itu ialah memperkasa kumpulan B40 dengan tujuan menyediakan taraf hidup yang lebih baik untuk mereka.

“Kerjasama ini akan memperluas­kan lagi capaian Agrobank untuk meningkatkan akses kewangan kepada komuniti asas tani dengan pelbagai kepakaran,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas