Berita

“Rakyat Malaysia prihatin, itu kekuatan kita” – Rosyam Nor

DATUK Rosyam Nor berkata dia menggerakkan ahli pasukan kira-kira 40 orang untuk melakukan kerja pembersihan di kediaman mangsa dalam menjayakan misi bantuan banjir baru-baru ini.
- Diterbit 21 Januari 2022 3:49 AM MYT

PELAKON popular Datuk Rosyam Nor bukan sahaja dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu malah pelbagai kaum lain.

Baru-baru ini, usaha untuk membantu membersihkan kediaman mangsa banjir dipermudahkan apabila seorang pengusaha alat pancutan air (water jet) berbangsa Cina tiba-tiba memberikan peralatan itu secara percuma.

“Selepas muncul melalui filem India, Kabali bersama Superstar Rajinikanth, nama saya mula dikenali dalam kalangan peminat India. Apabila diberi kesempatan membintangi filem Hong Kong, saya dapati masyarakat Cina pula mula mengenali saya.

“Terbaru, seorang pengusaha ‘water jet’ bertanyakan sama ada saya pelakon yang membintangi G Storm bersama Louis Koo. Pertanyaan itu bertitik tolak kerana dia mengakui pernah membaca berita mengenai filem itu yang menampilkan saya sebagai satu-satunya pelakon dari Malaysia.

“Mula mula saya datang nak membeli (water jet), tapi selepas dia menyedari sayalah yang membintangi filem itu di samping Louis, pengusaha terbabit terus memberikan 19 alat pancutan air percuma,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai misi bantuan banjir yang dijayakan baru-baru ini, Rosyam berkata, dia menggerakkan ahli pasukan kira-kira 40 orang untuk melakukan kerja pembersihan di kediaman mangsa.

“Dulu apabila berlaku banjir di Pantai Timur, Kelantan misalnya saya tak sempat pergi ke sana. Jadi apabila muncul bah di Kuala Lumpur dan Selangor, saya cuba bantu. Dapat bantu serba sedikit pun saya rasa gembira.

“Sungguh menyayat hati terutama bila melawat lokasi bencana di Hulu Langat. Saya dapati ketika pasca banjir, ada kediaman yang bercampur air kumbahan dan longkang.

“Rumah mak cik yang kami kerap gunakan untuk lokasi penggambaran drama dan telefilem juga hanyut kerana banjir. Mak cik itu akur, Allah sudah ambil segala galanya. Betapa mak cik itu reda,” katanya.

Bagi Rosyam, betapa pentingnya untuk masyarakat saling membantu di saat genting, dan dia yakin itulah semangat dan kekuatan yang mampu rakyat negara ini hulurkan tanpa memilih siapa pun.

“Semua rakyat Malaysia prihatin dengan bencana, itu kekuatan kita. Jika negara luar mempunyai masalah pun rakyat negara ini turut membantu misalnya untuk Palestin dan Syria.

“Namun, saya berharap rakyat negara ini terus fikirkan jalan terbaik untuk membantu dan menyumbang dari segi peralatan kerana ada mangsa banjir yang mengalami kemusnahan mutlak (total lost),” katanya.

Rosyam dalam pada itu berkata ada misi membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda dan Bukit Canggang dijayakannya turut disertai rakan artis seperti Datin Seri Nina Juren, Datuk Fizz Fairuz dan Betty Banafe.

Turut sama meringankan beban ialah St Rosyam Mart dan pertubuhan Ikhlas.com. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas