Berita

Port healing tarikan terbaru Festival Ramadan Putrajaya 2024

SHAHRUL (tiga kanan) bersama penaja dan rakan strategik FRP2024.
- Diterbit 5 Mac 2024 6:50 PM MYT

FESTIVAL Ramadan Putrajaya 2024 (FRP2024) akan berlangsung pada skala lebih besar bermula 8 Mac hingga 9 April ini dengan sasaran kehadiran 800,000 orang pengunjung.

Menurut Pengarah Ingenious Creative Lab (M) Sdn Bhd, Shahrul Musa, penganjuran FRP2024 yang bertemakan Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran itu melibatkan lima komponen utama iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk, Laman Iftar serta Food Truck Ramadan dengan lokasi terlibat di Dataran Putrajaya Presint 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya dan lima lokasi Bazar Ramadan Putrajaya.

“Untuk makluman, jualan Anjung Syawal kali ini kembali dengan tema ‘1,001 warna lebaran’ diilhamkan oleh budaya Timur Tengah di mana bakal membawa pengunjung menikmati suasana memikat dari budaya Timur Tengah yang kaya dengan sejarah, seni dan tradisi.

“Elemen dan konsep ini juga diyakini dapat menambah kemeriahan dalam menyambut Ramadan dan lebaran di FRP2024,” katanya pada sidang media FRP2024 di Hotel Mercure Putrajaya hari ini.

Lebih menarik, Shahrul berkata jualan Anjung Syawal kali ini turut menyediakan Healing Station buat keselesaan dan kemudahan pengunjung.

“Ia bukan sahaja menyediakan kemudahan kepada orang ramai malah saya yakin lebih ramai peniaga dan usahawan tempatan dapat meraih peluang untuk menjana ekonomi masing-masing,” ujarnya.

Dalam masa sama, dia berkata pihaknya juga berbesar hati kerana jualan Anjung Syawal kali ini menyaksikan penglibatan lebih 100 usahawan daripada pelbagai cabang perniagaan.

“Kami sangat berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan pihak Perbadanan Putrajaya untuk meneruskan jualan Anjung Syawal buat kali kedua. Sehubungan itu, pelbagai kelainan akan ditampilkan sempena penganjuran tahun ini.

“Untuk penganjuran kali ini kami juga akan berkolaborasi dengan penaja iaitu Quaker dan Minaz serta rakan strategik seperti pcari.my, Rantai Arts, Tempatan Fest dan Semboyan Malaysia untuk memeriahkan lagi FRP2024,” ujarnya.

Selain itu, pengunjung yang hadir ke FRP2024 juga berpeluang mengikuti pelbagai program dan aktiviti mingguan dengan tema yang berlainan iaitu kesenian (minggu pertama), kecantikan (minggu kedua), sukan (minggu ketiga) dan Islamik pada minggu keempat.

Kesemua program akan turut disertai dan dimeriahkan dengan kehadiran ramai tetamu jemputan seperti artis dan selebriti popular tempatan, penceramah dan banyak lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas