Selebriti

“Saya bangga dengan setiap filem yang saya lakonkan” – Bront Palarae

BRONT mahu memberikan yang terbaik kepada penonton.
- Diterbit 27 Disember 2019 8:55 AM MYT

PELAKON, Bront Palarae, 41, mengakui dia tidak bersetuju dengan pandangan segelintir pihak yang menganggap filem komersial hanya menyajikan hiburan ringan semata-mata dan tidak memerlukan penonton berfikir mengenai mesej yang cuba disampaikan.

Baginya semua filem adalah sama dan tidak perlu dilabel sama ada komersial, seni, serius atau sebagainya kerana apa yang penting ialah mesej yang cuba disampaikan.

“Bukan apa, ada mulut-mulut di luar sana yang berkata filem komersial tidak perlu bawa otak atau hati ke panggung. Cuba kita lihat filem komersial dari barat, mereka juga sarat dengan isu tertentu seperti sosial, politik dan lain-lain,” ujarnya.

Katanya lagi, seboleh-bolehnya dia mahu mengajak penonton untuk sama-sama mengubah pandangan dalam membeza-bezakan sama ada sesebuah filem itu berunsur komersial atau tidak.

Malah menurutnya selama 16 tahun berada dalam industri lakonan, dia tidak pernah sesekali membeza-bezakan filem yang dilakonkan malah berbangga dengan setiap naskhah yang diterima.

“Tak kisah filem komersial atau tidak saya buat juga andai kena dengan skrip dan jalan cerita,” ujarnya yang baru sahaja muncul dengan filem adiwira, Gundala yang sedang ditayangkan di pawagam.

Dalam filem yang diarahkan oleh sutradara, Joko Anwar itu, Bront membawakan watak sebagai Pengkor di samping pelakon Abimana Aryasatya, Tara Basro dan Ario Bayu.

“Gundala, antara contoh karya komersial yang sarat dengan pelbagai mesej di dalamnya. Biarpun bersifat komersial, namun tema dan jalan ceritanya ada menceritakan atau menyentuh sosio politik di negara mereka, namun kena juga dengan keadaan yang berlaku di seluruh dunia,” ujarnya.

Mengulas wataknya sebagai Pengkor yang juga dalang mafia, Bront berkata, watak yang dilakonkan memerlukannya menjadi seorang yang cacat fizikal disebabkan kebakaran.

“Kecederaan dialami pada otot kaki sebelum penggambaran filem bermula pada bahagian kaki turut membantu gaya saya berjalan, sesuai dengan watak Pengkor yang cacat,” ujar pelakon kacukan Melayu, Pakistan dan Siam ini.

Mengulas tentang filem terbaharunya itu, Bront yang sebelum ini pernah terlibat dalam filem Pengabdi Setan pada tahun 2017, berharap agar filem tersebut mampu menyampaikan sesuatu yang bermakna kepada penonton biarpun ia bersifat komersial dan mempunyai unsur hiburan.

“Saya pernah juga mencuba dengan filem Terbaik Dari Langit namun itupun masih lagi dianggap sebagai filem seni yang berat atau serius. Jadi, saya fikir tidak perlu lagi mencuba di sini dan mungkin sinarnya itu di tempat yang lain,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton dan sidang media filem dari Indonesia baru-baru ini.

Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin berkata sepanjang bergelar pelakon, dia sudah melakonkan pelbagai genre filem sekali gus membuktikan kemampuannya dalam bidang lakonan.

“Setiap filem pasti ada yang bagus dan ada yang biasa. Namun begitu, saya tetap bangga dan mahu memberikan yang terbaik kepada penonton,” ujar pelakon yang pernah meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Belukar pada Festival Filem Malaysia (FFM23).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas