Berita

Berita-berita ringkas Dewan Rakyat

- Diterbit 12 Ogos 2020 5:01 AM MYT

Berikut adalah berita-berita ringkas persidangan Dewan Rakyat setakat tengah hari ini:

Kajian semula impak Covid-19 terhadap sekuriti makanan APEC

KAJIAN semula Pelan Tindakan Keselamatan Makanan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke Arah 2020 akan turut meneliti cabaran dan impak COVID-19 terhadap sekuriti makanan dalam kalangan ekonomi APEC, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengadakan sesi bengkel dalam talian dengan semua ekonomi APEC bagi mendapatkan lebih banyak maklumat dan input supaya kajian serta laporan yang menyeluruh dapat dihasilkan.

“Pelaksanaan kajian semula ini dijangka selesai pada Oktober 2020,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) yang meminta MAFI menyatakan sejauh mana Pelan Tindakan Keselamatan Makanan APEC Ke Arah 2020 dikaji semula secara menyeluruh bagi menjamin keselamatan makanan negara.

******************************************************************************************************************

RTM rancakkan kempan pembudayaan norma baharu

JABATAN Penyiaran Malaysia menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui platform televisyen, radio dan media baharu menyiarkan sidang media penting secara langsung bagi memastikan masyarakat menerima maklumat terkini dan sahih mengenai pandemik COVID-19 serta mematuhi arahan dan saranan kerajaan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beliau berkata dalam tempoh 30 Julai hingga 15 Ogos, RTM menyiarkan 195 program berbentuk wacana televisyen dan radio bagi kempen pembudayaan norma baharu menerusi semua platform di seluruh negara.

Turut disiarkan dalam tempoh itu ialah 2,629 laporan berita; 30,123 pesanan khidmat masyarakat dan kapsul serta 986 infografik.

Sementara itu bagi platform media sosial, RTM telah menyiarkan 18,507 hantaran dan merekodkan 1.5 juta tontonan melalui ‘Live Facebook’ bagi kempen berkenaan untuk tempoh sama, katanya menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) berkenaan usaha kerajaan mengenai ekosistem cara hidup digital masyarakat Malaysia di luar bandar dan pedalaman.

******************************************************************************************************************

Projek Sarawak – Sabah Link Road diteruskan

KERAJAAN tetap meneruskan Projek Sarawak – Sabah Link Road (SSLR) yang dilaksanakan secara berfasa iaitu Fasa 1 dari Lawas ke Kampung Pa’ Berunut dan Fasa 2 dari Kampung Pa’ Berunut ke Long Lama, menurut Kementerian Kerja Raya.

Surat niat (LOI) telah dikeluarkan kepada kontraktor pada 7 Julai 2020 manakala surat setuju terima (SST) akan dikeluarkan apabila kontraktor memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam dokumen tender.

Kementerian itu memaklumkan demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Baru Bian (PSB-Selangau) sama ada kerajaan akan meneruskan projek pembinaan SSLR dan status terkini projek itu.

******************************************************************************************************************

PPR dijenamakan semula sebagai Sewa

PENJENAMAAN semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada Rumah Malaysia (Sewa) akan bermula bagi projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), demikian menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurut KPKT, memaklumkan model kewangan bagi projek Rumah Malaysia (Sewa) akan dibiayai melalui peruntukan pembangunan tertakluk kepada kelulusan agensi pusat.

Perkara itu dimaklumkan KPKT dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) mengenai perkembangan proses penjenamaan semula PPR dan model kewangan yang bakal dipraktikkan.

******************************************************************************************************************

Cadangan buka sempadan Wan Kelian diteliti – KDN

CADANGAN membuka semula kemudahan Zon Aliran Bebas Wang Kelian di pintu sempadan Malaysia-Thailand perlu diteliti dengan berhati-hati dan tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada, menurut Kementerian Dalam Negeri.

Penelitian juga perlu mengambil kira aspek keselamatan negara.

Jelas kementerian itu pemansuhan zon aliran bebas itu pada 1 April 2015 adalah sebagai langkah kawalan pergerakan keluar masuk dan kawalan sempadan bagi menyekat acaman dan mengekang penyeludupan barangan terlarang yang dilihat menjadi ancaman kepada negara.

Demikian menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, bagi menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) sama ada kerajaan bercadang membuka semula Zon Aliran Bebas Wang Kelian selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi merancakkan aktiviti perdagangan di situ. – Bernama

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas