Polisi serampang dua mata KWP

Polisi serampang dua mata KWP

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) memutuskan pengecualian bayaran sewa perumahan bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2020 bagi 617 penyewa perumahan awam milik Perbadanan Labuan di bawah Inisiatif Wilayah Cakna 4.0.

Saya berpendapat bahawa keputusan pengecualian sewa ini memang penting sekali kerana dapat memanfaatkan penyewa-penyewa. Polisi ini dapat mengurangkan beban ekonomi rakyat berpendapatan rendah terutamanya pada tempoh wabak penularan COVID-19 yang mungkin tidak dapat dibasmi pada masa terdekat ini.

SERAMPANG DUA MATA

Sebanyak 178 kawasan perumahan kos rendah awam dan swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur difaedahkan secara efektif melalui Program MyGrocer@Wilayah yang diperkenalkan oleh KWP.

Konsep pasar bergerak merupakan paksi utama program ini. Barangan dapur dan makanan asas harian seperti sayur-sayuran, buahbuahan, daging, minyak masak, gula, tepung gandum dan beras dapat dijual kepada rakyat berpendapatan rendah.

Saya berpandangan bahawa program ini mendatangkan dua faedah. Faedah pertama program ini adalah harga jualan yang lebih murah daripada harga di pasar awam (5 hingga 20 peratus) akan ditawarkan.

Kedua, rakyat berpendapatan rendah yang biasanya menggunakan pengangkutan awam untuk pergi ke pasar awam, pasar raya boleh menjimatkan tambang pengangkutan.

Hal ini demikian kerana pengusaha trak MyGrocer@Wilayah akan menjalankan peniagaan di kawasan perumahan kos rendah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu, program ini juga dapat mengelakkan kesesakan orang ramai di pasar awam atau pasar raya dan saya fikir hal ini berfaedah untuk mengekang penularan wabak COVID-19 yang tidak berhabis-habisan sejak permulaan tahun 2020.

Pada pendapat saya, program ini juga berguna untuk membantu rakyat Wilayah  Persekutuan untuk memotong perbelanjaan harian mereka melalui pembelian di trak MyGrocer@Wilayah.

Langkah ini mustahak untuk mengurangkan kos hidup golongan berpendapatan rendah (B40) dan asnaf.

Saya berharap agar program ini dapat terus dijalankan dan program ini dapat diperluaskan ke Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan dalam masa terdekat supaya lebih banyak golongan B40 dapat dibantu dan dimanfaatkan.

“Langkah ini mustahak untuk mengurangkan kos hidup golongan berpendapatan rendah (B40) dan asnaf.

RINGAN BEBAN RAKYAT

Mengenai inisiatif yang diberikan kepada rakyat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terkesan akibat perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), KWP memutuskan pengecualian bayaran sewa rumah selama tiga bulan berjumlah RM14.4 juta mulai Okotober 2020 hingga Disember 2020.

40,000 penyewa Program Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN) dan perumahan awam (PA) DBKL di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dimanfaatkan.

Pada permulaan Mac 2020 yang lalu, 40,000 penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mendapat pengecualian yang sama.

Saya percaya inisiatif ini dapat meringankan beban rakyat yang sudah lama menahan dan menentang kesan negatif wabak COVID-19 ini.

Saya juga berpandangan bahawa inisiatif Wilayah Cakna di mana pengecualian sewa rumah dilaksanakan adalah diperlukan untuk melegakan rakyat berpendapatan rendah yang sudah lama dan masih berada dalam ‘hot water’.

Pada anggapan saya, sewa yang dikecualikan boleh digunakan oleh warga-warga penyewa untuk menampung kos sara hidup yang kian tinggi di Malaysia.

Selain itu, KWP telah memberikan moratorium selama enam bulan kepada 6,000 pembeli rumah yang membeli menerusi Yayasan Wilayah Persekutuan membabitkan nilai RM2.5 juta.

Saya percaya langkah ini mustahak untuk menyenangkan aliran tunai rakyat. Tekanan dan kesulitan kehidupan juga dapat dilegakan buat masa ini.

Oleh sebab wabak COVID-19 yang menjejaskan ekonomi global dan negara dengan serius, sesetengah rakyat telah kehilangan kerja.

Saya berharap agar KWP dapat terus berempati dengan kesusahan orang ramai dan lebih banyak bantuan dari segi ekonomi dapat terus diberikan.

CATEGORIES