Artikel

Usah persoal Perkampungan Al-Quran

PERKAMPUNGAN Al-Quran martabat syiar Islam di Malaysia sejajar
- Diterbit 13 November 2020 1:00 PM MYT

PROJEK Perkampungan Al-Quran yang dicadangkan di Putrajaya dengan kos RM150 juta nampaknya dipersoalkan oleh beberapa pihak yang menyifatkan ia bukan keutamaan atau prioriti.

Dalam suasana pandemik COVID-19 ini mereka merasakan fokus dan peruntukan kewangan kerajaan harus ditumpukan ke arah mengekang wabak tersebut.

Justeru untuk sementara ini, mereka berpendapat projek Perkampungan AlQuran itu harus ditangguhkan supaya dana dapat disalurkan untuk tujuan yang lebih utama dan segera.

Projek ini dijadual bermula pada 2021. Reka bentuknya sudah siap. Peruntukan awal juga sudah diluluskan, termasuk peruntukan 20 ekar tanah. Yang tinggal hanya menunggu pembinaan bermula.

Bagi Adi, pembangunan Perkampungan Al-Quran ini adalah usaha murni dan terancang untuk mengimbangi pembangunan rohani dan jasmani bagi warga Putrajaya.

Ini sejajar dengan pembangunan Putrajaya yang banyak dikaitkan dengan Islam, seperti seni bina Islam, di samping wujudnya pusat percetakan Al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.

Kerana itu bagi Adi, Perkampungan AlQuran wajar dianggap sebagai kesinambungan
meningkatkan syiar Islam di Putrajaya khususnya dan Malaysia amnya, sejajar dengan kedudukan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Persekutuan.

Menurut pelan projek, antara yang termasuk dalam perkampungan ini ialah pembinaan sebuah masjid baharu di Putrajaya, dicadangkan di Presint 14.

Masjid berbentuk Al-Quran dan menelan belanja RM50 juta ini akan menjadi masjid ketiga selepas Masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memenuhi keperluan tempat beribadat warga Putrajaya.

Selain itu projek tersebut mewujudkan beberapa buah studio yang akan membuat kupasan-kupasan ilmu AlQuran dalam pelbagai bentuk dan aspek.

ANGGAPAN KETERLALUAN

Oleh itu Adi tidak setuju dengan anggapan projek Perkampungan Al-Quran sebagai tidak penting dan tidak perlu diberi keutamaan. Ini adalah andaian keterlaluan yang seolah-olah tidak mahu ia menjadi kenyataan.

Tidak harus timbul apa-apa kebimbangan bahawa projek ini mengabaikan kepentingan
lain kerana pelaksanaan projek ini sama sekali tidak mengabaikan keutamaan lain,
seperti mengekang COVID-19.

Berdasarkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan di parlimen 6 November lalu, jelas kerajaan telah menyediakan peruntukan menyeluruh bagi belanja pembangunan dan
pengurusan.

Adi percaya, ramai faham dengan hakikat ini. Oleh itu untuk mengandaikan pembinaan Perkampungan AlQuran sebagai mengabaikan perkara penting yang mendadak seperti COVID-19 adalah tidak tepat.

Perkampungan ini tidak harus dilihat seolah-olah tidak bermanfaat dan sekadar membazir sehingga tidak perlu diberi keutamaan.

Sebaliknya ia mesti dilihat pada sudut positif betapa projek ini akan ‘meluaskan’ peranan Putrajaya bukan sahaja sebagai pusat pentadbiran tetapi juga tempat di mana ilmu Al-Quran dapat dikongsi dengan lebih mendalam dan berkesan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa sendiri ketika menjawab teguran beberapa pihak mengenai projek ini melalui Twitter menegaskan, pembinaan Perkampungan Al-Quran ini tidak harus dipandang dari sudut negatif.

Ini kerana ada projek lain yang dianggap tidak segera atau urgent juga dirancang oleh pihak tertentu untuk dilaksanakan seperti terowong dasar laut. Tetapi tidak banyak suara bantahan yang lantang kedengaran.

Adi percaya ramai setuju bahawa projek keagamaan sepatutnya diberi sokongan sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Tidak seharusnya projek mendirikan masjid dan penyebaran ilmu Al-Quran diperlekeh dan dipandang tidak penting.

Apatah lagi dakwaan kononnya projek ini bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan juga tidak benar. Sebaliknya projek yang merupakan lanjutan kepada Kompleks Nasrul Quran ini turut dibiayai melalui dana wakaf dan swasta.

Perkampungan Al-Quran ini akan diurus bersama pembangunannya oleh Perbadanan Putrajaya dan Yayasan Restu.

Bagi Adi, kita wajar berbangga kerana apabila siap nanti, perkampungan ini merupakan satu-satunya projek sepertinya di dunia. Malaysia bertuah kerana menjadi pelopor.

BAS PERCUMA LEGAKAN WARGA PUTRAJAYA

Langkah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi Perbadanan Putrajaya (PPj) memperkenalkan khidmat bas percuma mulai 1 November pastinya melegakan warga Putrajaya dalam mengatasi masalah pengangkutan awam di pusat pentadbiran Persekutuan
itu.

Juga amat dialu-alukan kerana perkhidmatan bas tersebut adalah percuma, kecuali warga asing yang perlu membayar RM1.50 bagi setiap perjalanan. Pastinya penduduk Putrajaya lega mampu menjimatkan kos pengangkutan.

Adi percaya dengan perkhidmatan bas ini, yang bakal ditambah dengan projek perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT) yang bakal disambung semula pembinaannya,
akan mewujudkan sistem pengangkutan yang efektif untuk Putrajaya.

Yang lebih signifikan ialah perkhidmatan bas ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna tetapi juga para pemandu, syarikat bas dan beberapa pihak lain yang terlibat. Dengan kata lain ia adalah perkhidmatan serampang dua mata.

Sehingga kini 4,000 pengguna sudah mendaftar untuk menggunakan perkhidmatan ini yang melayakkan mereka mendapat perkhidmatan percuma ke tempat kerja atau untuk urusan harian lain.

Kos perkhidmatan ini pula berjumlah RM12 juta setahun dengan jumlah penumpang
dijangka meningkat 50 peratus tahun hadapan.

Dengan adanya perkhidmatan bas percuma ini Adi harap masalah berkaitan bas henti-henti di Putrajaya dapat diatasi. Antaranya rungutan seperti bas tidak mengikut jadual dan perkhidmatannya tidak menyeluruh sehingga menyusahkan pengguna.

Perkhidmatan bas percuma bukan sahaja menurut jadual perjalanan tetapi juga lebih menyeluruh meliputi sekitar Putrajaya. Antaranya melalui 11 laluan kawasan perumahan,
komersial dan pejabat selain di Presint 1 hingga 4.

Kekerapan perjalanan pula ialah setiap lima minit pada waktu puncak bermula 6.30 pagi hingga 9 pagi dan 4 petang hingga 6.40 petang.

Pada waktu bukan puncak pergerakan bas ialah setiap 10 minit, sementara pada waktu
malam setiap 30 minit. Begitu juga pada hujung minggu atau cuti umum.

Pada peringkat permulaan sebanyak 10 buah akan digunakan. Jumlah ini akan ditambah secara berperingkat sehingga mencecah 40 buah bas.

Kerajaan telah menyediakan kemudahan dan Adi harap rakyat, khususnya warga Putrajaya, akan menggunakan sebaik-baiknya kemudahan disediakan.

Kepada yang belum mendaftar bolehlah berbuat demikian untuk mendapatkan kad bagi perkhidmatan bas percuma ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas