Berita

Polis terima 38 unit PPR, tempatkan dua anggota di PPR

PDRM
2019.
- Diterbit 30 September 2019 2:52 AM MYT

Oleh : AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalinkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras jenayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, perkara tersebut merupakan sebahagian daripada Inisiatif Wilayah di bawah kategori Peduli Komuniti Sejahtera yang diperkenalkan kementeriannya.

“Salah satu perkara yang diusahakan oleh KWP dan DBKL telah mengadakan kerjasama dengan PDRM untuk meletakkan dua anggota bagi membanteras jenayah dikawasan ini.

“Keseluruhan untuk fasa pertama ini akan melibatkan 27 unit PPR dan PA dan setiap PPR yang terlibat akan menempatkan dua orang anggota polis bagi tujuan membanteras jenayah di kawasan perumahan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Perasmian Program Inisiatif Wilayah Peduli Komuniti Sejahtera di PPR Desa Rejang di sini semalam.

Tambah Khalid, antara PPR yang terlibat ialah PPR Seri Selangor, PPR Seri Alam, PPR Seri Sabah, PPR Desa Rejang, PPR Air panas dan PPR Intan Baiduri manakala baki 11 unit lagi akan diserahkan kepada pihak polis dalam masa terdekat.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas