Berita

Polis tahan sembilan lelaki disyaki terlibat edar minuman keras, rokok seludup

KESEMUA mereka yang berusia lingkungan 22 hingga 49 tahun ditahan dalam serbuan di bawah Ops Kontraban, yang digerakkan hasil maklumat awam. Kredit foto oleh Berita Harian
- Diterbit 22 Jun 2021 2:52 PM MYT

POLIS menahan sembilan lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan mengedar minuman keras serta rokok seludup, dan merampas pelbagai barangan dianggarkan bernilai hampir RM5.9 juta di Klang, dekat sini, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kassim berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan 22 hingga 49 tahun ditahan dalam serbuan di bawah Ops Kontraban, yang digerakkan hasil maklumat awam.

Beliau berkata polis percaya kesemua mereka yang ditahan merupakan ahli sindket mengedar minuman keras dan rokok yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang.

“Barangan yang dirampas terdiri daripada 86 kotak minuman keras dianggarkan bernilai RM42,200 dan 44,000 batang rokok putih pelbagai jenama bernilai RM36,000. Turut dirampas ialah 368 unit mesin simulator dipercayai untuk tujuan berjudi dianggarkan bernilai RM5.44 juta dan dua lori serta 18 kontena bernilai RM320,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal berkata kesemua mereka direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas