Berita

Sukarelawan MyVac mahu bantu negara capai imuniti kelompok

SUKARELAWAN MyVac berhasrat untuk membantu negara mencapai imuniti kelompok secepat mungkin. Foto - BERNAMA
- Diterbit 23 Jun 2021 1:03 AM MYT

INISIATIF Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) mendapat tempat dalam kalangan belia apabila rata-rata yang mendaftar menyatakan hasrat untuk membantu negara mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

Pelajar Ijazah Sarjana Sains bidang Pembangunan Belia di Universiti Putra Malaysia Mohammad Syafiq Ridzwan Jamaluddin, 27, berkata beliau mendaftar dengan MyVac pada Mei lalu setelah mendapat maklumat daripada rakan-rakannya.

Mohammad Syafiq Ridzwan yang kini ditempatkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega (berkapasiti besar) Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa MINES (MIECC) di Seri Kembangan berkata penyertaan beliau sebagai sukarelawan itu sebagai usaha bersama negara melawan pandemik COVID-19.

“Bukanlah berkhidmat sangat (pengorbanan besar), sekurang-kurangnya nak menyumbang sama-sama dalam melawan kes COVID-19, tengok apa yang kita boleh buat. Kebetulan MINES (PPV) dekat dengan rumah, jadi kita bantu (sebagai sukarelawan),” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Mohammad Syafiq Ridzwan berkata antara tugasan beliau di PPV berkenaan adalah memaklumkan kebaikan vaksinasi serta menyampaikan fakta bagi menenangkan warga emas yang bimbang dengan suntikan vaksin.

Sementara itu, aktivis daripada Majlis Belia Negeri Selangor Fauzana Bakri, 36, berkata beliau berasa bangga apabila diberi peluang menjadi sukarelawan MyVac bagi membantu negara berdepan pandemik COVID-19, meskipun bukan sebagai barisan hadapan seperti polis atau doktor.

Menurutnya tugas sukarelawan MyVac mampu membantu kelangsungan perjalanan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di setiap PPV, juga secara tidak langsung memberi mereka ruang untuk berbakti kepada negara.

Menceritakan pengalamannya yang bertugas di PPV Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, khususnya pada hari ketiga Aidilfitri  tahun ini, pelbagai kerenah masyarakat yang dihadapi tetapi beliau berlapang dada mendengar segala aduan.

“Ada yang hadir dengan senyuman dan ucapan terima kasih kepada kami sebagai tanda penghargaan kerana sanggup bertugas di musim perayaan dari pagi ke malam, walaupun pada hakikinya mereka (penerima vaksin) juga terpaksa beratur panjang dan tidak kurang juga yang datang dengan mood yang tidak baik dan pelbagai aduan.

Kami terima segalanya dengan berlapang dada demi kebaikan semua. Saya bangga dengan rakyat Malaysia yang saling memberi kata-kata semangat dan ada juga yang hadir dengan buah tangan untuk kami. Terima kasih rakyat Malaysia kerana turut menghargai kami,” katanya.

Bagi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Mohd Sapari Suaim, 28, beliau mendaftar dengan MyVac kerana mahu berjasa kepada rakyat dan negara, meskipun pendaftarannya pada 15 Jun masih belum diluluskan.

Selain itu, pekerja sendiri Muhammad Syazdanial Abu Yazid, 27, berkata beliau mengutip pengalaman berharga  sepanjang bertugas selama 30 hari di PPV Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

“Saya juga cuba dan kena mempelajari beberapa kata kunci pelbagai bahasa lain supaya dapat memudahkan berinteraksi bersama penerima vaksin yang hadir. Bagi saya itu semua hanyalah pengalaman dan kesedaran kepada saya untuk lebih bijak mengawal pelbagai situasi dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Nasihat saya kepada semua belia di luar sana ambillah peluang ini untuk berbakti kepada negara dan menyahut cabaran menjadi petugas barisan hadapan. Kurangkan bercakap, banyakkan tindakan. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip ‘kita memudahkan urusan orang lain, maka Tuhan akan sentiasa memudahkan urusan kita’,” katanya.

MyVac yang dilancarkan pada Mac, adalah inisiatif dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membantu melancarkan pengurusan pemberian vaksin kepada masyarakat.

Pada 19 Jun, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata seramai 80,000 individu mendaftar untuk menyertai inisiatif MyVac di seluruh negara sejak pendaftarannya dibuka ketika pemberian vaksin fasa pertama pada Mac lepas.

Menurut Reezal Merican daripada jumlah tersebut, 4,500 sukarelawan MyVac di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu ditugaskan di 332 pusat pemberian vaksin (PPV) manakala bakinya dalam mod bersedia apabila lebih banyak PPV dibuka.

Beliau turut memaklumkan pihaknya menjangkakan lebih ramai sukarelawan MyVac diperlukan dalam usaha membantu kerajaan memastikan kelancaran proses vaksinasi di PPV kerana lebih banyak PPV mega dan di kawasan luar bandar termasuk penempatan Orang Asli akan dibuka dalam masa terdekat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas