Berita

Polis siasat 88 kes peguam pecah amanah lebih babit RM88 juta

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 26 Januari 2024 7:45 PM MYT

SEBANYAK  88 kes berkaitan pecah amanah membabitkan peguam dengan nilai kerugian dianggarkan melebihi RM88 juta direkodkan bagi tempoh antara 2021 hingga 2023.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata angka itu memberi gambaran bahawa kes pecah amanah oleh peguam tidak boleh dipandang ringan.

Beliau berkata justeru itu, Polis Diraja Malaysia menggesa pembabitan Majlis Peguam Malaysia untuk meneliti dan menambah baik prosedur serta hukuman yang dilaksanakan dalam menangani isu salah laku dalam kalangan peguam.

“JSJK juga mencadangkan agar prosedur pengurusan akaun pelanggan oleh firma guaman diteliti semula dengan memasukkan peranan anak guam bagi sebarang urusan transaksi akaun,” katanya pada sidang media khas JSJK di sini hari ini.

Ramli berkata sekiranya dapat dilaksana, ia akan menjadi satu mekanisme efektif bagi mencegah kes pecah amanah oleh peguam selain dapat mengelak berlakunya aktiviti pengubahan wang haram.

Beliau turut mendedahkan bahawa seorang ahli perniagaan mengalami kerugian sebanyak RM333,323 selepas peguam yang dilantik bagi menguruskan penjualan rumah di Negeri Sembilan pecah amanah.

Ramli berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 18 Jan lepas daripada seorang warga emas berusia 60 tahun.

“Hasil siasatan, suspek iaitu peguam dan ejen hartanah telah menguruskan penjualan rumah mangsa pada sekitar Ogos tahun lepas dan hasil jualan tidak diserahkan kepada mangsa

“Pada awal bulan ini, mangsa telah pergi ke firma guaman dan dimaklumkan oleh petugas firma itu bahawa wang miliknya telah digunakan oleh pemilik firma untuk tujuan lain,” katanya.

Beliau berkata ketika hadir di firma itu, mangsa diberikan sekeping cek bernilai RM333,323 namun ia gagal ditunaikan kerana pembayarannya telah dihentikan oleh pemilik akaun firma guaman atas alasan yang tidak diketahui.

Ramli berkata semakan dengan pejabat tanah mendapati rumah mangsa telah dipindah hak milik kepada pemilik baharu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Beliau juga berkata JSJK menerima laporan daripada seorang pesara berusia 74 tahun yang diperdaya untuk menyertai pelaburan bitcoin dan berdasarkan siasatan awal pada 30 Okt tahun lepas, mangsa telah dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh seorang lelaki yang menawarkan pelaburan itu dan memberikan pautan www.accerx.com untuk pendaftaran.

“Setelah membuat pendaftaran, pesara itu mula membuat transaksi wang pelaburan ke lapan akaun berbeza dengan nilai RM1.2 juta… sejak pesara itu membuat transaksi sehingga kini, dia tidak pernah membuat sebarang pengeluaran keuntungan daripada pelaburan itu,” katanya.

Ramli berkata siasatan mendapati sindiket itu telah memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa lapan akaun bank yang diberikan kepadanya berfungsi sebagai penukar wang kerana skim pelaburan yang disertai pesara tersebut adalah berasaskan mata wang kripto.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas