Berita

Polis Labuan siapsiaga hadapi PRU15

AHMAD (empat dari kiri) bersama pasukannya siapsiaga dalam menghadapi PRU-15.
- Diterbit 4 November 2022 2:49 PM MYT

POLIS Labuan siapsiaga dalam menghadapi penugasan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bermula daripada Penamaan Calon, Undi Awal sehingga hari Pembuangan Undi pada 19 November ini.

Ketua Polis Labuan Superintendan Ahmad Jawila berkata, seramai 326 anggota daripada pegawai, anggota serta bantuan akan ditugas bagi kawalan keselamatan sempena PRU15.

“Kesemua mereka yang terdiri daripada pegawai, anggota dan bantuan  telahpun siapsiaga  bagi  memastikan kawalan keselamatan sepanjang PRU 15 berlangsung berjalan dengan lancar tanpa berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Kedayan di Sekolah Kebangsaan Sungai Lada, pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahmad menggesa semua calon-calon yang akan bertanding dikehendaki mendapatkan permit kempen pilihan raya terlebih dahulu daripada pihaknya bagi mengelakkan pertembungan kawasan ketika berkempen.

“Semua calon atau wakil dikehendaki membawa bersama perancangan kempen sekiranya ada, atau yang hendak dilaksanakan untuk tujuan pengeluaran permit selaras dengan Seksyen 24 B Akta Pilihanraya 1954 (Akta 5) bagi mengelakkan berlakunya pertindihan lokasi di antara parti politik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga memberi peringatan kepada penyokong dan calon semua parti yang bertanding untuk mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh PDRM bagi memastikan ketenteraman dan keamanan di pulau itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas