Berita

PPj rai 60 anggota, 3 pegawai sempena Hari Penguat Kuasa

FADLUN menyampaikan pingat kepada anggota penguat kuasa yang terpilih.
- Diterbit 5 November 2022 12:00 AM MYT

SAMBUTAN Hari Penguat Kuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) pada tahun ini diadakan dengan penuh protokol dan istiadat melibatkan seramai 60 anggota serta tiga pegawai bertempat di Gerbang Kompleks PPj, Putrajaya, Selasa lalu.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, bertemakan Tegas dan Berhemah, Sambutan Hari Penguat Kuasa yang disambut saban tahun ini adalah bagi mengukuhkan identiti dan kesetiaan kepada organisasi.

“Ia juga bagi memberi penghargaan kepada anggota penguat kuasa yang sentiasa bertindak secara tegas dan berhemah dalam memastikan tindakan penguatkuasaan diambil secara saksama serta sah di sisi undang-undang.

“Di samping itu, ia bagi memperingati sejarah penubuhan Pasukan Penguat Kuasa Perbadanan Putrajaya pada 17 Ogos 1998 yang pada awalnya hanya terdiri daripada enam anggota dan kini mempunyai lebih 150 orang selaras dengan pertambahan fungsi dan keperluan tugasan yang semakin mencabar,” kata beliau kepada pemberita pada Sambutan Hari Penguat Kuasa Perbadanan Putrajaya.

Tambah beliau, sehingga Oktober 2022, penguat kuasa PPj telah melaksanakan sebanyak 240 tundaan dan 1,370 apitan.

“Sejumlah 27,590 notis kompaun pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dan bilangan kompaun ini dijangka akan meningkat sehingga akhir tahun. Sebanyak 12 Operasi Bersepadu juga telah dilaksanakan antaranya ialah Ops Rempit, Ops Halangan Siar Kaki Premis, Ops Halangan Lalulintas dan Ops Sisiran Tasik.

“Isu kenderaan terbiar juga turut menjadi permasalahan utama dan sehingga kini sebanyak 113 kenderaan telah ditunda ke depoh simpanan dalam memastikan Putrajaya tidak cacat dengan kenderaan buruk terbiar,” ujar beliau dalam meningkatkan prestasi bayaran kompaun, Bahagian Penguat Kuasa dengan kerjasama Jabatan UndangUndang dan Bahagian Kewangan turut menggandakan usaha mempercepatkan tempoh kes pendakwaan di mahkamah.

Fadlun turut menyeru penguat kuasa PPj untuk meneroka penggunaan teknologi pada masa kini sebagai alat menyokong tugas-tugas penguatkuasaan bagi memastikan keberkesanan tindakan penguatkuasaan dan membantu dalam memudahkan serta mempercepatkan perlaksanaan tugasan.

“Bahagian Penguat Kuasa PPj diseru untuk terus merancang dan melaksanakan aktiviti dan program sama ada di peringkat dalaman mahupun luaran yang menjurus kepada meningkatkan kecemerlangan dan mutu perkhidmatan di samping mempertahankan imej penguat kuasa dan PPj.

“Adalah menjadi harapan agar semua pegawai dan anggota penguat kuasa menyelami dan memahami bahawa setiap tindakan yang diambil adalah demi ‘Kesejahteraan Masyarakat Putrajaya Dan Semua Pemegang Taruh Melalui Penguatkuasaan Yang Tegas Dan Berhemah’,” jelas beliau.

Terdahulu, Majlis Perbarisan itu turut menyaksikan seorang pegawai penguat kuasa dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Terpuji manakala tujuh anggota dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Setia dan Pingat Perkhidmatan Penguat Kuasa.

Turut hadir, Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar, Nik Shukri Nik Soh dan Pengarah Bahagian Penguatkuasa PPj, Mohd Ali Jusoh. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas