Berita

Polis Labuan nafi saman individu tak pakai topeng muka

MUHAMAD FARID
- Diterbit 22 Mac 2020 6:39 AM MYT

LABUAN – Polis Labuan menafikan pihaknya mengeluarkan saman sebanyak RM250 kepada orang ramai yang tidak memakai topeng muka di sekitar sebuah pasar raya di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya sedar kekurangan bekalan topeng muka di seluruh negara dan kenyataan yang tular itu dilihat tidak munasabah.

“Tiada arahan setakat ini untuk mengeluarkan saman kepada sesiapa yang tidak memakai topeng muka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 hingga 31 Mac ini.

“Tidak perlu tularkan kenyataan tidak sahih yang hanya menyebabkan kegusaran masyarakat. Bagaimana kita nak saman sedangkan seluruh negara hadapi masalah kekurangan bekalan alat keselamatan itu?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Farid menegaskan, polis turut meletakkan syarat supaya orang ramai yang masih keluar dari rumah bagi tujuan hadir ke tempat kerja perlu mengemukakan Surat Pelepasan/ Kebenaran Bekerja daripada ketua jabatan dan hanya pekerja daripada sektor yang dikategorikan sebagai perkhidmatan penting sahaja yang diberi keutamaan pelepasan dan kebenaran lalu lintas.

Beliau berkata, bagi kebenaran kepada wakil isi rumah (ketua keluarga) untuk membeli barang keperluan, seorang sahaja yang dibenarkan berbuat demikian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas