Berita

Covid-19: Maut ke-9, pesakit pernah ke Turki

Bukan dari kalangan petugas barisan hadapan atau kalangan rakan kerja yang berhadapan dengan pesakit Covid-19
HOSPITAL Tuanku Fauziah
- Diterbit 22 Mac 2020 5:40 AM MYT

PUTRAJAYA – Satu lagi kes maut dilaporkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak Covid-19 adalah sembilan orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian kesembilan merupakan kes pertama dalam kalangan kakitangan kesihatan yang melibatkan seorang lelaki tempatan (kes ke-890) berusia 48 tahun yang merupakan seorang doktor perubatan KKM.

“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara Turki dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis pada Selasa lalu setelah mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection.

“Beliau kemudiannya disahkan positif Covid-19 pada keesokan harinya dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak Khamis (19 Mac) lalu, setelah keadaan kesihatan beliau merosot sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 10.33 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham memberitahu, kes jangkitan Covid-19 tersebut disyaki bukan dari kalangan petugas barisan hadapan (frontliners) mahu pun daripada kalangan rakan kerja (working colleague) yang berhadapan dengan pesakit Covid-19.

Jelas beliau, ia sebaliknya adalah berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas