Berita

Seorang staf Bank Islam disah positif Covid-19

PENANGGUHAN bayaran balik pinjaman sehingga enam bulan.
- Diterbit 22 Mac 2020 7:08 AM MYT

KUALA LUMPUR – Bank Islam  mengesahkan bahawa salah seorang warga kerjanya di Menara Bank Islam di sini telah diuji positif Covid-19.

Bank Islam dalam satu kenyataan berkata, kakitangannya itu kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan.

“Beliau dan keluarga terdekatnya berada di bawah kuarantin di rumah sejak 19 Mac lalu mengikut garis panduan keselamatan dan kesihatan Bank Islam untuk Covid-19.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, Bank Islam telah menjalankan pensterilan dan pembasmian kuman menyeluruh di Menara Bank Islam hari ini termasuk ruang-ruang kemudahan umum,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu menyatakan, Bank Islam juga sedang giat mengesan individu-individu yang berhubung secara langsung dengan warga kerja terbabit untuk dikenal pasti dan memaklumkan bahawa mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan serta kuarantin di rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam memberi jaminan kepada para pelanggannya dan orang ramai bahawa tiada gangguan
perkhidmatan di Menara Bank Islam.

“Bank Islam mempunyai pelan kesinambungan perniagaan
yang baik untuk memastikan operasinya tidak terjejas oleh keadaan ini.

“Pihak bank telah mengambil langkah-langkah sewajarnya serta meningkatkan lagi kesedaran dengan lebih kerap
sejak penularan wabak ini.

“Saya ingin menekankan kepada semua pelanggan bahawa kesemua
premis kami adalah bersih dan selamat setelah kerja-kerja sanitasi dilaksanakan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas