Berita

Polis buru suspek samun bersenjata di Jalan Metro Perdana

- Diterbit 21 Disember 2020 8:46 AM MYT

POLIS memburu seorang lagi suspek yang terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan parang di Jalan Metro Perdana Barat 2, berhampiran Bank Standard Chartered, Sentul, Kuala Lumpur pada 15 Disember lalu.

Ia susulan rakan sejenayahnya berjaya ditumpaskan ‘mangsa’ yang berusia 36 tahun ketika insiden samun berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi, suspek berusia 34 tahun dikatakan menghampiri mangsa sambil membawa sebilah parang berukuran 40 sentimeter.

Ujar beliau, suspek bertindak mengacukan parang ke arah leher mangsa dan memaksanya menyerahkan wang tunai sebanyak RM15,000 yang dipercayai hak syarikat mangsa.

“Suspek kemudian cuba melarikan diri ke arah rakannya yang sedang menunggu di atas motosikal dengan nombor pendaftaran dan jenisnya tidak dapat dipastikan.

“Namun, percubaan suspek untuk melarikan diri bersama wang tunai milik syarikat mangsa tidak berjaya apabila dia ditumpaskan oleh mangsa dengan bantuan pengawal keselamatan peribadi. Bagaimanapun, rakan sejenayah suspek berjaya melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Eng Lai, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan daripada insiden tersebut dan tangkapan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Tambah beliau, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Disember dan akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas