Berita

Polio kembali selepas 27 tahun

KANAK-KANAK yang dijangkiti polio akan mengalami kaki bengkok. - Gambar hiasan KANAK-KANAK yang dijangkiti polio akan mengalami kaki bengkok. - Gambar hiasan
- Diterbit 8 Disember 2019 2:42 PM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan satu kes virus polio telah berlaku di negara ini selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes berkenaan melibatkan seorang bayi lelaki warga tempatan berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah yang telah mengalami demam diikuti dengan lemah anggota badan dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital.

“Beliau telah disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) pada 6 Disember lalu.

“Hasil ujian pengesahan yang dijalankan Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Polio Regional Laboratory di Australia, virus tersebut mempunyai perkaitan genetik dengan virus polio yang dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di negara Filipina. Seterusnya, VDPV1 ini diklasifikasikan sebagai circulating vaccine-derived poliovirus type 1 (cVDPV 1),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, bagi mencegah penyakit polio daripada berlaku, liputan imunisasi harus sentiasa melebihi 95 peratus.

Jelas beliau, untuk mereka yang telah divaksinasi dengan vaksin poliomyelitis, mereka akan mendapat perlindungan daripada jangkitan penyakit tersebut.

Ujarnya, orang ramai khususnya ibu bapa dinasihatkan untuk memastikan anak-anak telah mendapat imunisasi polio yang lengkap.

“Kanak-kanak yang tercicir imunisasi boleh dibawa ke mana-mana fasiliti kesihatan berhampiran untuk mendapatkan imunisasi,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas