Berita

Pokok besar ancam nyawa penduduk

PENDUDUK menunjukkan pokok besar yang boleh mengancam keselamatan penduduk.
- Diterbit 12 Julai 2019 1:08 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Beberapa batang pokok besar yang berusia le­bih 30 tahun di perumahan Kelompok Cemperling A dan B, AU3, Taman Keramat di sini mengundang rasa bimbang penduduk setempat kerana dikhuatiri boleh mengancam keselamatan.

Ini kerana, pokok-pokok besar tersebut bukan sahaja tumbuh berhampiran rumah penduduk malah lebih tinggi daripada bangunan empat tingkat itu.

Lebih membimbangkan apabila, baru-baru ini, bumbung rumah sampah yang berada di bawah pokok tersebut berlubang dan ranap akibat dihempap dahan ketika ribut melanda.

Setiausaha Persatuan Penduduk dan Kebajikan Kelompok Cemperling A dan B Kuala Lumpur, Abdul Karim Mokhtar berkata, pihaknya bimbang sekiranya dahan pokok besar itu jatuh dan terkena kanak-kanak yang bermain di kawasan sekitar atau penduduk yang melaluinya.

“Terdapat lima batang pokok besar di sekeliling kawasan ini. Ada yang tumbuh berhampiran laluan utama penduduk ke pondok bas, kita bimbang sekiranya dahan atau pokok itu tumbang dan menghempap orang yang lalu di bawahnya.

“Sebelum ini, terdapat bebe­rapa buah kereta yang dihempap dahan. Kejadian sering­­­ terjadi selepas ribut melanda,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Abdul Karim, sejak 2016, pihaknya telah mengemukakan beberapa permohonon kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang meminta pihak berkuasa tempatan itu menebang pokok.

Namun, katanya, setiap kali DBKL hadir, hanya dahan-dahan kecil sahaja yang dicantas.

“Kami berharap mereka akan memotong dahan besar atau terus menebang pokok berkenaan yang membahayakan nyawa penduduk setempat,” jelasnya yang turut mendapati terdapat dahan mati di salah satu pokok besar itu.

Tambah Abdul Karim, pihaknya juga bimbang kejadian tidak diingini berlaku kerana pada masa ini ibu negara sering dilanda hujan lebat dan ribut.

BUMBUNG rumah sampah yang telah rosak akibat dahan pokok yang jatuh.
ANTARA kerosakan akibat dahan pokok yang pernah jatuh sebelum ini.
DAHAN pokok yang telah mati dan membahayakan penduduk.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas