Berita

Perkenal Labuan ke Eropah Timur

AMIN memberikan cenderahati kepada Duta Besar Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo semasa kunjungan hormat ke atas Pengerusi Perbadanan Labuan baru-baru ini.
AMIN memberikan cenderahati kepada Duta Besar Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo semasa kunjungan hormat ke atas Pengerusi Perbadanan Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 12 Julai 2019 1:05 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

LABUAN – Kunjungan hormat Duta Besar Ukraine ke Malaysia, Ole­xander Nechytaylo bakal meningkatkan lagi nama Labuan di negara Eropah Timur dan dalam masa sama bakal menjalinkan beberapa kerjasama dengan Perbadanan Labuan (PL).

Pengerusi PL, Datuk Seri Amir Hussien berkata antara perkara yang di­bincangkan semasa kunjungan hormat itu adalah untuk mengukuhkan hubungan diantara Labuan dengan Ukraine.

“Selain itu turut dibincangkan adalah peluang pelaburan di Labuan dalam bidang kewangan, pelancongan, pendidikan dan teknologi perkapalan.

“Sebuah pusat bahasa Inggeris untuk pelajar-pelajar dari Ukraine juga akan dibuka dan beberapa bangunan milik PL sedang dipertimbangkan untuk kegunaan tersebut,” katanya ketika dihubungi Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Amir lagi, sekiranya pusat bahasa itu dibuka ia akan memberi impak dan keuntungan kepada Labuan untuk jangka masa panjang.

“Keuntungan secara langsung kepada Labuan adalah pelajar-pelajar ini akan memberikan impak positif kepada ekonomi warga setempat.

“Sudah pasti ahli keluarga pelajar tersebut akan berkunjung ke Labuan dan secara tidak langsung dapat mempromosikan Labuan,” katanya.

Kata Amir lagi, Duta Besar Ukraine itu juga kagum melihat kesungguhan warga kerja PL mempromosikan serta mengalakkan banyak pelaburan secara terus ke Labuan.

“Polisi semasa pentadbiran baharu serta pendekatan Yang diguna pakai selepas peralihan kerajaan Pusat telah banyak membuka mata negara negara luar untuk datang sendiri melihat segala peluang yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan kedua-dua negara.

“Kunjungan itu juga dapat mengoptimumkan kedudukan Pulau Labuan sebagai sebuah pulau bebas cukai serta potensi untuk bersaing sebagai pusat kewangan di rantau ini,” katanya.

Kata Amir lagi, Nechytaylo turut berjanji untuk mempromosikan Pulau Labuan kepada agensi agensi kerajaan serta usahawan usahawan Ukraine dalam masa terdekat.

“Beliau juga akan mengaturkan rombongan susulan di peringkat perlaksana dari negaranya ke Labuan” “Beliau menyifatkan kunjungannya itu sangat berjaya dan begitu teruja untuk berkunjung sekali lagi bagi tujuan bercuti,” katanya lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas