Karnival Bakat Kebangsaan, boling padang Labuan sasar dua emas

Karnival Bakat Kebangsaan, boling padang Labuan sasar dua emas

LABUAN – Pasukan boling padang Labuan menyasarkan dua pingat emas dari Karnival Bakat Kebangsaan Siri 1 yang berlangsung pada 11 hingga 14 Julai ini di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Menurut Pe­ngurus Pasukan, Aisah Alias, kejayaan memperoleh pingat perak menerusi acara Women Fours dan pingat gangsa dalam acara Men Fours pada tahun lalu memberi keyakinan kepada mereka untuk meletakkan sasaran emas pada edisi kali ini.

“Pencapaian pada penyertaan pertama tahun lalu memberi sedikit keyakinan kepada skuad kali ini untuk mengintai peluang membawa pulang pingat emas ke Labuan.

“Barisan pemain yang membawa cabaran kali ini sudah menjalani persediaan dan latihan selama dua tahun dan kita yakin Labuan mampu memberi saingan terbaik sekaligus memperbaiki pencapaian terdahulu,” katanya kepada Wilayahku.

Aisah memberitahu, pemain yang membarisi pasukan Labuan turut mempunyai pengalaman bermain dan menyertai beberapa kejohanan di dalam dan luar Labuan sejak 2015.

Tambahnya lagi, berkat soko­ngan dan dorongan pelbagai pihak termasuk ibu bapa, Persatuan Boling Padang Labuan, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan, pemain-pemain berusia bawah 15 tahun ini semakin fokus.

“Mereka kini mempunyai kekuatan mental dan fizikal kerana sokongan padu daripada semua pihak,” ujar­nya.

Pemain-pemain Labuan yang dibimbing Jurulatih, Hassan Hussein kali ini dibarisi Faris Syuhairil Ahmad Shukri, 14, Md. Amirul Naim Fazly,12, Mohamad Hafiz Roslan, 11, Abdul Hannan Hassan,11, Nur Khairunnisa Mohd. Khairee, 13, Nurul Husna Suraiya Yunus, 14, Nur Aimileeya Ismail,11 dan Aqilah Syazwani Rosland,13.

CATEGORIES