Berita

PM umum peruntukan RM73.6 juta untuk peniaga kecil, penjaja

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Keluarga Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 (HPPK) dan melancarkan Transformasi Pasar Malam di Putrajaya, hari ini.
- Diterbit 3 Disember 2021 10:58 AM MYT

PENIAGA kecil dan penjaja hari ini menerima khabar gembira apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan RM73.6 juta.

Peruntukan itu melibatkan Program
Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil berjumlah RM48.52 juta ringgit dan pelaksanaan program Transformasi Pasar Malam berjumlah RM25 juta yang akan dilaksanakan secara berperingkat di 50 tapak pasar malam utama di seluruh negara mulai tahun 2022.

Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 kepada Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM).

Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa komited dalam soal menjaga kebajikan rakyat untuk memastikan tidak ada yang tertinggal dalam mengecapi nikmat kemakmuran negara termasuk golongan penjaja dan peniaga kecil.

“Sebagai contoh, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi TEKUN Nasional, menawarkan bantuan pembiayaan kepada golongan sektor informal di bawah program Pakej Niaga SPIN 2.0 pada Ogos lalu untuk membantu usahawan yang baru memulakan perniagaan tanpa daftar perniagaan atau lesen perniagaan serta akaun SSM,” katanya dalam ucapan perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Keluarga Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 (HPPK) dan Pelancaran Transformasi Pasar Malam di Putrajaya di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri MEDAC, Tan Sri Noh Omar, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Marican Naina Merican dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Katanya, melalui Program Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil, golongan tersebut boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus (0 peratus) daripada Bank Rakyat iaitu agensi di bawah MEDAC.

Menurut Ismail, Program Transformasi Pasar Malam yang diusahakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini mengetengahkan pelbagai elemen norma baharu yang mementingkan komponen kesihatan dan keselamatan seperti penugasan ‘Marshal Pasar Malam’ bagi meningkatkan kembali keyakinan rakyat.

“Pasar malam merupakan satu medan kepada rakyat mendapatkan keperluan harian dengan mengurangkan peranan orang tengah.

“Untuk itu, semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri diharap dapat mengadaptasi pendekatan Transformasi Pasar Malam ini di seluruh negara,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas