Berita

Jaminan RUU Tanah Kampung Baru

SHAHIDAN bersama-sama timbalannya, Jalaluddin (dua kiri) melancarkan Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru 2040, pada Khamis.
- Diterbit 3 Disember 2021 11:30 AM MYT

DRAF Rang Undang-undang (RUU) Tanah Kampung Baru yang dijangka dibentang di Parlimen awal tahun depan, diharap memberi jaminan perlindungan seumur hidup kepada pemilik tanah Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, sejak dahulu tiada undang-undang boleh melindungi secara khusus Tanah Rizab Melayu bagi menghalang mana-mana pihak mahu menukar status tanah berkenaan.

“RUU Tanah Kampung Baru kini dalam semakan Pejabat Peguam Negara, diharap dapat menjaga kepentingan hak milik pemilik tanah Kampung Baru sampai bila-bila dan pembangunan dirancang pula dilaksanakan dalam bentuk pajakan serta dipersetujui bersama antara pemilik tanah dan pemaju.

“Saya yakin RUU ini sekiranya diperkenalkan akan menjadi panduan kepada negeri lain, supaya memperkenalkan RUU sama untuk menyelamatkan tanah daripada
bertukar milik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru 2040 (PIPKB 2040) dan Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kampung Baru (PPPSKB) pada 25 November lalu.

Turut hadir Timbalan Menteri, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Pengerusi Perbadanan Kampong Bharu (PKB), Datuk Affendi Zahari.

PELAN Pembangunan Kampung Baru yang direncanakan secara organik dipamerkan pada majlis pelancaran baru-baru ini.

Mengenai PIPKB 2040 pula, ujar Shahidan, pelan induk itu dirangka sebagai dokumen panduan untuk mentransformasi pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial secara bersepadu sekali gus memandu hala tuju Kampung Baru secara menyeluruh untuk 20 tahun akan datang.

Panduan ini menyediakan insentif khusus yang akan dinikmati pemilik tanah dan pemaju merangkumi urusan hal tanah serta pembangunan iaitu pengecualian
100 peratus caj pembangunan; pemberian nisbah plot terbuka; pengurangan 70 peratus caj perkhidmatan infrastruktur serta kadar nominal RM1,000 bagi deposit
runtuhan bangunan.

“Peruntukan sebanyak RM754 juta sedang diusahakan bagi tujuan pembangunan serta penaiktarafan infrastruktur dan utiliti yang akan dibangunkan secara berfasa di Kampung Baru agar pembangunan berjalan seperti dirancang,” katanya.

Shahidan berkata, PPPSKB pula disediakan bagi membantu dan menggalakkan pemilik membangunkan tanah secara bersendirian atau membuat usaha sama dengan pemaju, GLC dan swasta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas