Berita

Labuan berpotensi diiktiraf Geopark Kebangsaan – Dr Mokhtar Saidin

MOKHTAR (dua dari kiri) menerima sijil penghargaan daripada Perbadanan Labuan yang disampaikan
- Diterbit 3 Disember 2021 7:05 AM MYT

DENGAN wujudnya kawasan geologi yang mempunyai pelbagai keunikan di pulau ini, Labuan berpotensi diiktiraf di peringkat Geopark Kebangsaan.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM) Professor Datuk Dr Mokhtar Saidin, satu jawatankuasa pengurusan dan pelaksanaan Geopark perlu dilaksanakan di Labuan bagi memastikan kelestarian Geopark di pulau ini terjamin.

“Pembangunan sesebuah Geopark adalah berasaskan produk geologi disamping itu perlu ada sokongan daripada produk budaya. Ini semua ada di Pulau Labuan,” katanya kepada pemberita di majlis makan malam sempena Program Penilaian Labuan Geopark di sebuah hotel terkemuka di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan UKM Professor Datuk Dr Norzaini Azman berkata, nilai-nilai dalam menghargai khazanah Geopark diterapkan dalam pendidikan di peringkat sekolah.

“Pendidikan mengenai Geopark itu memberikan penekanan yang amat tinggi dan ejen utama dalam Pembelajaran dan Pengajaran itu adalah di sekolah yang melibatkan guru-guru dan pelajar.

Beliau yang juga sebagai panel penilai menegaskan dengan menerapkan pendidikan khazanah Geopark di peringkat sekolah mampu memberikan impak positif kepada pelajar dalam mengenali serta menghargai khazanah warisan itu.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussein, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas