PM Lee pelawa Anwar melawat Singapura

PM Lee pelawa Anwar melawat Singapura

PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong mempelawa rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melawat republik itu tidak lama lagi.

“Saya mengundang PM Anwar untuk melawat Singapura tidak lama lagi. Saya berharap dapat bekerjasama dengan beliau dan kerajaan baharu untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala,” kata Lee dalam kemas kini tarbarunya di Facebook hari ini.

Lee berkata beliau sudah bercakap dengan Anwar hari ini dan mengucapkan tahniah kepada pemimpin itu yang telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Saya mengenali Datuk Seri Anwar selama beberapa dekad. Kali terakhir kami bertemu di Singapura pada 2018, ketika beliau menyampaikan ucapan mengenai kepentingan hubungan dua hala antara Singapura dan Malaysia di Sidang Kemuncak Singapura,” tulisnya.

Beliau turut memuat naik gambar beliau dan Anwar pada 2018.

“Sesungguhnya, Singapura dan Malaysia adalah rakan kongsi rapat. Negara kita berkongsi persahabatan yang telah sekian lama terjalin, disokong oleh hubungan sejarah, budaya dan interpersonal yang kukuh.

“Banyak lagi yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan hubungan dua hala demi faedah bersama,” tulis Lee.

Lee juga sudah mengutus perutusan tahniah kepada Anwar selepas pengerusi Pakatan Harapan itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baharu di Istana Negara pada Khamis (24 Nov). – BERNAMA

Share This