Sokongan luar biasa, aspirasi PN diterima, terus istiqamah – Hamzah

Sokongan luar biasa, aspirasi PN diterima, terus istiqamah – Hamzah

SOKONGAN luar biasa rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Rakyat Umum-15 (PRU15) membuktikan bahawa aspirasi perjuangan, jenama dan hala tuju gabungan itu diterima baik rakyat pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya golongan muda.

Justeru itu, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin menyeru penyokong serta jentera parti terus istiqamah berpegang teguh kepada asas perjuangan parti demi masa hadapan Malaysia yang lebih baik.

Beliau berkata Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan pimpinan tertinggi parti merakamkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang telah mengundi dan memberikan sokongan kepada PN pada pilihan raya itu.

“Ucapan terima kasih tidak terhingga juga diucapkan khususnya kepada para petugas serta jentera PN di seluruh negara yang telah bertungkus-lumus bekerja keras bagi menentukan kemenangan di semua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi parti.

“Bergerak ke hadapan, semua pihak perlu cekal dan ikhlas meneruskan perjuangan melalui wadah PN walau apa rintangan dan cabaran pasca PRU-15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PRU15 pada 19 Nov menyaksikan keputusan Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; Barisan Nasional (30); Gabungan Parti Sarawak (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi. – BERNAMA

Share This