Berita

Restoran Arab sedia shisha bakal digempur

SEORANG wanita asing menghisap shisha di sebuah restoran Arab di Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 16 Januari 2020 8:18 AM MYT

KUALA LUMPUR – Restoran-restoran Arab di sekitar ibu kota yang menyediakan shisha bakal ‘digempur’ agensi penguatkuasaan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian
Kesihatan susulan larangan merokok di kawasan premis makanan bermula pada 1 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr. Noor Akma Shabudin berkata, tindakan tersebut diambil kerana shisha mengandungi bahan berunsur nikotin yang tertakhluk di bawah Peraturan 12 dan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaan 2018).

Sehubungan itu tegas beliau, pihak DBKL dan Kementerian Kesihatan akan melaksanakan operasi khas secara bersama bagi memastikan pemilik premis dan pelanggan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kita akan jalankan satu operasi bersama Kementerian Kesihatan di kedai makanan Arab. Kalau mereka (pemilik premis) menyediakan shisha atau meletakkan bekas abu rokok, kita akan mengambil tindakan.

“Selain itu, jika mereka membiarkan pelanggan menghisap rokok, kompaun juga akan dikenakan,” katanya kepada pemberita dalam operasi bersepadu membabitkan DBKL dan Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan di sini baru-baru ini.

Sebanyak 30 gerai dan restoran diperiksa dalam operasi di sekitar Bangsar serta satu kompaun dikeluarkan atas kesalahan merokok di kawasan larangan.

Pesalah dikenakan kompaun RM250 dan sekiranya gagal membayarnya, mereka akan didakwa di
mahkamah selain boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau tidak lebih dua tahun penjara
jika sabit kesalahan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas