Berita

Plaza Rakyat, Hotel Hyatt dihidupkan

PROJEK Plaza Rakyat yang terletak bersebelahan UTC Puduraya telah terbengkalai sejak 1992. - Gambar hiasan
- Diterbit 15 November 2019 7:03 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

PUTRAJAYA – Selepas hampir 30 tahun terbengkalai, projek Plaza Rakyat dan Hotel Hyatt yang terletak di tengah ibu kota Kuala Lumpur bakal diteruskan pembinaannya bermula hujung bulan ini dengan sasaran dapat disiapkan dalam tempoh 36 hingga 50 bulan.

Pembangunan dua projek tersebut bakal menamatkan persoalan orang ramai yang selama ini tertanya-tanya bilakah projek tersebut dapat disiapkan memandangkan kedua-duanya telah mencacatkan pemandangan ibu kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, pembangunan Plaza Rakyat melibatkan pembanguan lima lot tanah yang telah terbengkalai sejak 1992 akan digerakkan kembali hujung bulan ini selepas perintah pembangunan (DO) dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pihak pemaju baharu.

“Kita berjaya menjadi pemudah cara khusus­nya DBKL untuk mengenal pasti pemaju baharu yang akan memulakan projek itu semula dan setelah mereka membayar wang pendahuluan sebanyak RM5 juta bagi memboleh­kan DO dikeluarkan.

“Projek ini mempunyai banyak masalah termasuklah terdapat 211 pembeli yang telah membayar bagi pembelian unit apartment dan sebagainya,’’ katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Menurut Khalid, bagi memudahkan pembangunan semula dilakukan, pihaknya akan memberi insentif seperti diskaun 50 peratus ke atas bayaran pembangunan dan melonggarkan beberapa syarat yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kerajaan akan memastikan faktor keselamatan diambil kira-kira dalam meneruskan kembali prpjek berkenaan memandangkan ia telah lama terbengkalai.

Sementara itu, projek Hotel Hyatt di Jalan Sultan Ismail yang DO asalnya dikeluarkan pada 1993 sebelum beberapa pindaan dilakukan pada 1998, 2003, 2013 akan diteruskan pemaju asal.

“Kita juga jangka ia akan dimulakan sebelum hujung tahun ini dan projek itu akan dilaksanakan sepenuhnya oleh pemaju asal,” ujarnya sambil menambah punca terbengkalai disebabkan masalah kewangan serta kegawatan ekonomi pada masa itu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas