Berita

Aksi Big Cilik 2019 mencuit hati

NOR HISHAM (tengah) bergambar bersama pemenang Pertandingan Pentas Big Cilik 2019 di Auditorium DBKL.
- Diterbit 15 November 2019 7:05 AM MYT

KUALA LUMPUR – Tadika Perpaduan Seri Pe­rak A muncul juara dalam Pertandingan Pentas Big Cilik 2019 bagi kategori Tari Budaya di sini baru-baru ini apabila berjaya mengalahkan 10 buah tadika yang lain.

Pada pertandingan itu, tadika berkenaan menampilkan tarian kebudayaan Cina hingga berjaya mencuit hati juri dan penonton yang memenuhi Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tadika Perpaduan Seri Negeri Sembilan A pula mendapat tempat pertama bagi persembahan koir kategori Suara Emas.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, program Big Cilik 2019 yang diperkenalkan itu merupakan salah satu program di bawah Program Inisiatif Wilayah Peduli.

“Program ini bertujuan untuk mengembangkan minda kreatif di samping menerapkan nilai-nilai kebudayaan dan tradisi dalam kalangan kanak-kanak pra sekolah.

“Acara ini dirangka khusus melibatkan agensi-agensi seperti Jabatan Perpaduan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA),’’ katanya ketika merasmikan program tersebut.

Turut hadir isteri beliau, Datin Rabitah Zakaria; Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusof dan Pengarah Pembangunan Komuniti DBKL, Anwar Mohd. Zain.

Terdahulu seramai 200 peserta dari 15 tadika berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir program Big Cilik 2019 setelah melepas sesi sari­ngan yang diadakan pada 18 dan 19 September lalu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas