Berita

Pegawai, staf DBKL bakal terima bantuan khas sebulan gaji

NOR HISHAM bersalaman dengan kakitangan DBKL selepas Perhimpunan Bulanan DBKL.
- Diterbit 15 November 2019 7:01 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kira-kira 9,400 kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal menerima bantuan khas sebanyak sebulan gaji atau minimum RM1,500 se­tiap se­orang yang dibayar pada Disember ini.

Berita gembira tersebut diumumkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan pada majlis perhimpunan bulanan agensi tersebut di Auditorium DBKL di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, bantuan khas itu bukanlah bonus sebaliknya merupakan inisiatif DBKL dalam meringankan beban kakitangan agensi tersebut terutama membabitkan persiapan sesi persekolahan tahun depan.

“Bagi meringankan perbelanjaan akhir tahun terutama membabitkan sekolah anak-anak, DBKL akan berikan bantuan khas, bukan bonus ya kepada semua pegawai sebanyak sebulan gaji,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada pegawai dan kakitangan agensi tersebut.

Nor Hisham berkata, DBKL turut memperkenalkan elaun bandar raya Kuala Lumpur kepada semua pegawai dan kakitangan Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM200 sebulan.

“Elaun ini akan dibayar mulai Januari 2020 selama tiga tahun, masa itu saya pun sudah pencen,” katanya.

Wilayahku difahamkan sebelum ini tiada sebarang bentuk elaun seumpama itu diberikan kepada pegawai dan kakitangan DBKL. Sumber memberitahu, selepas tempoh tiga tahun tersebut, pembayaran elaun tersebut bergantung kepada pertimbangan DBKL sama ada mahu meneruskannya, memberikan kenaikan atau sebaliknya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas