Berita

PL terima peruntukan RM16 juta projek penempatan semula nelayan

Lokasi tapak projek penempatan semula nelayan di Kampung Bebuloh.
- Diterbit 24 September 2021 5:04 AM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) telah menerima peruntukan sejumlah RM16 juta dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi membiayai Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Kampung Bebuloh di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Fary Akmal Osman berkata, projek itu merupakan projek perintis fasa pertama perumahan nelayan di pulau itu yang membabitkan kawasan berkeluasan 8.15 ekar.

“PL telah dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sebagai agensi pelaksana projek ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa lalu.

Menurut beliau, satu dokumen memorandum kesefahaman (MoU) kini sedang dalam proses dimuktamadkan dan akan dimeterai oleh PL dan LKIM pada waktu terdekat.

Projek itu bakal menciptakan sejarah kerana ianya adalah merupakan satu-satunya projek PSN di pulau ini.

Fary berkata, sasaran utama projek PSN itu adalah untuk meningkatkan kualiti dan taraf hidup isi rumah masyarakat nelayan di Labuan.

“Dengan projek perintis pertama PSN ini, taraf kehidupan para nelayan berpendapatan rendah dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan selesa dengan prasarana asas yang diberikan,’’ katanya lagi.

Terdahulu, projek penempatan semula rumah nelayan yang bernilai RM16 juta itu bakal membabitkan pembinaan sekurang-kurangnya 100 buah rumah akan dilaksanakan pada tahun ini. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas