Berita

Isu lif akan diatasi segera – Shahidan

SHAHIDAN meninjau keadaan lif yang sering diadukan serta menjadi masalah utama penduduk di PPR dan PA DBKL.
- Diterbit 24 September 2021 5:00 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berikrar untuk memberikan perhatian serta merta terhadap masalah yang melibatkan lif rosak di seluruh kawasan projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA).

Katanya, masalah tersebut akan diatasi dengan segera dan pembaikan akan dilakukan serta merta demi menjamin kemakmuran dan keselesaan penduduk di PPR dan PA.

“Macam contoh lif di sini rosak satu, kita juga akan pastikan lif dan lain-lain kemudahan untuk penduduk di kawasan ini diberi perhatian untuk kegunaan mereka,” katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di Perumahan Awam Seri Terengganu di Bandar Baru Sentul pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar; Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ismadi Sakirin dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Parlimen Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim.

Jelas Shahidan, perhatian yang dimaksudkan bukanlah bersifat umum sebaliknya ia merupakan langkah untuk pihak KWP dan DBKL mengambil tindakan memperbaiki kemudahan tersebut.

“Ini bukan beri perhatian umum sahaja, sebaliknya esok (21 November) mereka akan mulakan tindakan dan lakukan kerja-kerja menyelenggara lif. Jadi banyak lagi PPR yang memerlukan proses baik pulih lif dan itu kita akan beri perhatian serta merta,” katanya.

Menurut Shahidan, pihaknya turut akan memberikan perhatian dan membaik pulih laluan pejalan kaki bagi memberikan keselesaan kepada pengguna.

“Saya melihat masalah berbangkit semasa lawatan ini, contohnya di sepanjang laluan pejalan kaki dari Pangsapuri Melur ke PA Seri Terengganu, saya lihat laluan pejalan kaki ini rosak dan ia akan diperbaiki.

“Antara yang perlu diperbaiki adalah termasuk railing di sepanjang jalan yang rosak dan ia cukup berbahaya kepada pengguna. Kita akan perbaiki kerana bukan sahaja laluan untuk berjalan kaki, ia juga boleh digunakan untuk tujuan riadah,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas