Berita

9,948 mohon sewa unit PPR, PA DBKL

PERMOHONAN untuk menyewa di rumah PPR dan PA DBKL meningkat pada tahun 2020.
- Diterbit 24 September 2021 6:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menerima kira-kira 9,948 permohonan sewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di sekitar Kuala Lumpur sejak dari tahun 2019 hingga Ogos 2021.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, daripada angka tersebut, sebanyak 1,540 permohonan telah diluluskan namun hanya 620 pemohon sahaja yang menerima tawaran sewa rumah manakala selebihnya masih menunggu giliran.

“Baki 920 permohonan masih belum diluluskan ekoran proses baik pulih unit perumahan sedang diselenggarakan dan ada penyewa yang melepasi kadar kelayakan dan masih di dalam proses untuk memulangkan unit mereka,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mengenai bilangan pemohon yang menunggu untuk mendapatkan unit PPR di Wilayah Persekutuan.

Jalaluddin berkata, dalam tempoh tersebut, tahun 2020 telah merekodkan jumlah permohonan tertinggi iaitu sebanyak 6,922 permohonan.

“Daripada jumlah tersebut hanya 736 pemohonan sahaja yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pemilihan,” jelas Ahli Parlimen Jelebu itu.

Menurut Jalaluddin, pihak KWP dan DBKL sedang merancang untuk membina Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin bagi menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah.

“Sebanyak 15,926 unit akan dibina di kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi menampung kumpulan B40 atau golongan bersederhana rendah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM5,000 ringgit.

“Kita juga turut mempunyai perancangan untuk membina sebanyak 1,716 unit rumah Residensi Wilayah bagi menampung keperluan pemohon-pemohon daripada Labuan,” tambahnya. -WILAYAHKU- HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas