Berita

PL sasar tarik 1,000 pelaburan baharu

AMIR (tengah) bersama Pengarah Eksekutif AIFC, Datuk Seri Simon Liew (dua dari kiri) merasmikan pembukaan pejabat Syarikat AIFC Technology di Kompleks Ujana Kewangan, pada Isnin lalu. AMIR (tengah) bersama Pengarah Eksekutif AIFC, Datuk Seri Simon Liew (dua dari kiri) merasmikan
- Diterbit 1 November 2021 5:00 AM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) menyasarkan lebih kurang 1,000 pelabur asing dan tempatan bakal melabur dalam tempoh dua tahun di Pulau Bebas Cukai itu bermula tahun ini.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Amir Hussien, langkah itu diambil bagi memastikan ekonomi Labuan kembali seperti dahulu.

Katanya, susulan pandemik COVID-19 pertumbuhan ekonomi negara khususnya di pulau ini semakin merundum.

“Kita mahukan Labuan dipulihkan segera bagi memastikan peluang pekerjaan serta ekonomi tempatan dapat ditingkatkan.

“Untuk mencapai sasaran itu, kita akan menghimpunkan sekurang-kurangnya 1,000 pelabur tempatan dan antarabangsa dengan menawarkan beberapa pakej mesra pelabur,” katanya kepada pemberita di Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat AIFC Technology di Kompleks Ujana Kewangan di sini, pada Isnin lalu.

Amir berkata, pihaknya akan memastikan peluang pelaburan yang ada diteruskan tanpa sebarang peraturan yang ketat.

“Kita mahu Labuan menjadi sebagai pulau yang fleksibel yang memahami sektor dan elemen-elemen pelabur bagi memastikan peluang pelaburan dapat disegerakan dan diluluskan,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 110 delegasi pelabur tempatan dan antarabangsa mengadakan lawatan padanan pelaburan selama empat hari itu bagi melihat sendiri peluang pelaburan yang berpotensi di pulau itu.

Delegasi pelabur itu membabitkan pelabur dari negara pelabur China, Hong Kong, Vietnam serta pelabur tempatan. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas