Berita

Pupuk budaya majlis ilmu di WP

SHAHIDAN bersama isterinya, Datin Seri Shamsiah Md Yassin menadah tangan ketika bacaan doa sebelum Program Bicara Tokoh Ilmuan Agama pada Selasa.
- Diterbit 1 November 2021 3:46 AM MYT

SETELAH lebih dari satu tahun larangan melaksanakan majlis bersemuka, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) tampil menganjurkan majlis ilmu secara hibrid.

Melalui Program Bicara Tokoh Ilmuan Agama, majlis yang julung kali diadakan itu telah mengundang Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Dr Muhamad Asri Zainal Abidin untuk membicarakan mengenai Doa Mustajab Mengikut Sunnah.

Program yang diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu turut dihadiri Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain serta pegawai-pegawai kanan dan pengarah-pengarah agensi di bawah KWP.

Disiarkan secara langsung melalui laman Facebook rasmi KWP, warga Wilayah Persekutuan turut berpeluang bertanyakan soalan kepada tokoh jemputan tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, warga kerja KWP dan agensi di bawahnya seharusnya menjadikan majlis ilmu sebagai satu budaya sekali gus membolehkan semua pihak mengambil manfaat daripada intipati yang disampaikan.

“Kita wajar mendekati majlis ilmu kerana pahalanya begitu besar iaitu lebih daripada 1,000 rakaat menunaikan solat sunat.

“Saya percaya setiap yang hadir akan mengambil manfaat dalam mempelajari ilmu yang berguna,” katanya ketika berucap merasmikan Program Bicara Tokoh Agama pada Selasa.

Beliau menyeru kepada warga kerja KWP dan agensi untuk menghayati setiap pesanan yang diberikan agar ia boleh dimanfaatkan dan dijadikan panduan dalam kehidupan.

“Ramai yang mungkin tidak memahami konsep doa yang betul, oleh yang demikian, saya membawa tokoh yang dikenali ini agar kita dapat bersama-sama belajar di samping menambah ilmu pengetahuan,” katanya.

Shahidan turut mengingatkan kepada semua pihak mengenai hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah mengenai amalan selepas kematian yang tidak akan terputus kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak soleh yang berdoa untuknya.

“Kita sering mendengar hadis ini dibacakan di mana-mana dan kita perlu menghayati tiga perkara yang disebutkan itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, tokoh-tokoh agamawan lain akan dibawa dalam setiap penganjuran majlis ilmu, dari semasa ke semasa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas