Berita

PL meterai persefahaman bersama SKMM, laksana sistem CIPM

MoU ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PL, Rithuan Mohd Ismail dan Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafi Mohd Yunus.
- Diterbit 3 November 2021 8:44 AM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sepakat melaksanakan System Communication Infrastructure Permit Management (CIPM) dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

Pengerusi PL, Datuk Seri Amir Hussien berkata, MoU itu bertujuan memantau menara telekomunikasi, membantu penjanaan hasil pulau ini dan bakal merealisasikan selaras dengan inisiatif ke arah ‘Program Smart City Labuan’.

“Sistem ini (CIPM) memperkukuhkan tadbir urus dan sistem penyampaian kerajaan melalui perkhidmatan teknologi digital dan secara dalam talian bagi memberi perkhidmatan berkualiti serta efektif.

“CIPM juga dapat memastikan struktur menara yang didirikan oleh pihak penyedia perkhidmatan mempunyai kelulusan daripada PL serta mengenal pasti struktur menara telekomunikasi yang tidak mempunyai permit sah.

“Ketirisan hasil PL dapat dikurangkan apabila struktur-struktur menara telekomunikasi yang tidak berpermit melalui program pemutihan dan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoU sistem CIPM antara PL dan SKMM di sebuah hotel di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Teknikal dan Inovasi SKMM, Shamsul Izhan Abdul Majid dan Pengarah SKMM Wilayah Persekutuan Rizal Abd Malek.

Dalam majlis itu, MoU ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PL, Rithuan Mohd Ismail dan Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Mengulas lanjut, Amir berkata, pihaknya berharap penggunaan CIPM dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya di Labuan.

Sementara itu, Mohd Ali Hanafiah berkata, urusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk merekod dan mengenal pasti menara komunikasi yang tidak mempunyai permit akan dimudahkan menerusi CIPM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas