Berita

Jalaluddin jamin Pusat Penjaja Taman Segar dibuka semula

|TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan melawat Pusat Penjaja Taman Segar (bangunan parkir bertingkat DBKL)
- Diterbit 4 November 2021 2:52 AM MYT

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias memberi jaminan akan memastikan Pusat Penjaja Taman Segar (bangunan parkir bertingkat DBKL), Cheras, Kuala Lumpur dibuka seperti biasa.

Menurut Jalaluddin, beberapa masalah yang timbul sebelum ini akan diselesaikan secepat mungkin untuk membolehkan penyewa memulakan perniagaan pada 15 November ini atau selewat-lewatnya 1 Disember depan.

“Kawasan gerai atau Pusat Penjaja Taman Segar telah siap dibina pada tahun 2018, tetapi sehingga ke hari ini masih belum ada peniaga yang beroperasi sepenuhnya.

“Apabila saya melihat beberapa perkara yang harus diselesaikan tidak begitu besar dan saya minta peguam saya melihat semula (isu ini) supaya surat tawaran dapat disampaikan kepada semua pemohon-pemohon yang berminat untuk menyewa di pusat penjaja ini.

“Pada 15 November atau seawal 1 Disember ini, tempat ini akan beroperasi seperti biasa. Saya harap kita dapatkan jalankan ini secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas sesi walkabout atau turun padang ke kawasan Parlimen Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan,  Datuk Seri Jalaluddin Alias, melawat Pusat Penjaja Taman Segar (bangunan parkir bertingkat DBKL), Cheras, Kuala Lumpur.

Dalam sesi tersebut, Jalaluddin turut melawat kawasan rumah pangsa di Taman Segar yang akan dijalankan pembangunan semula.

“Ada dua projek perumahan di Taman Segar (akan dijalankan) sejak ia dibina 40 tahun lalu.

“Projek ini adalah antara lokasi yang dijalankan pembangunan semula oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Projek ini telah pun mendapat kelulusan untuk pembangunan semula. Saya datang lihat keadaan susana rumah ini yang begitu daif dan tidak sesuai lagi untuk didiami oleh penduduk-penduduk di situ.

“Malah saya telah pun mendapatkan laporan yang dihantar oleh pihak yang berkaitan tentang keadaan tidak selamat lagi untuk diduduki.

“Jadi disebabkan itu, projek ini sedang berjalan, semua penghuni di kawasan itu akan dipindahkan ke kawasan pembangunan yang akan dijalankan di Desa Aman,”jelasnya lagi.

Jalaluddin bersama dengan pihak peniaga, persatuan penjaja, DBKL dan pemimpin masyarakat untuk menyelesaikan isu penempatan lokasi berniaga bagi 32 orang yang terlibat.

Selain itu, Jalaluddin juga sempat melawat gerai-gerai penjaja di Flat Miharja , Cheras, yang sebelum ini mencetuskan pelbagai isu.

Di sana, Jalaluddin bersama dengan pihak peniaga, persatuan penjaja, DBKL dan pemimpin masyarakat untuk menyelesaikan isu penempatan lokasi berniaga bagi 32 orang yang terlibat.

“Saya lihat kawasan penjaja ini perlukan sokongan daripada pihak DBKL.

“Pertamanya ,penjaja di sini tidak mempunyai lesen perniagaan dan saya akan minta agar semua penjaja yang terlibat, untuk memohon lesen semula yang akan dipertimbangkan oleh pihak DBKL.

“Yang kedua, kawasan penjaja di sini agak sesak dan tidak teratur. Untuk itu, saya akan melihat perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang, dalam usaha untuk kita menempatkan semula golongan penjaja ini di satu kawasan yang sesuai.

“Dalam masa yang sama, kawasan itu boleh diurustadbir secara bersistem termasuk dari segi kesihatan dan keselamatan.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan pegawai-pegawai dari DBKL untuk kita mencari solusi terbaik bagaimana nak bantu peniaga-peniaga di sini,” ujarnya yang berharap semua peniaga terlibat memahami proses penempatan semula penjaja memerlukan tempoh tertentu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas