Berita

Labuan terima peruntukan RM64 juta di bawah JENDELA – SKMM

PELAKSANAAN JENDELA (2021-2025) bertujuan meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar 4G di seluruh negara.
- Diterbit 3 November 2021 8:40 AM MYT

KERAJAAN melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperuntukkan RM 64 juta menerusi inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bertujuan meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar di pulau ini.

Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, peruntukan itu adalah untuk fasa pertama tahun 2020-2022 di mana liputan jalur lebar akan ditingkatkan khususnya di beberapa kawasan ‘blind spot‘.

“Kita akan tingkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar daripada 3G kepada 4G. Selain itu, terdapat juga penambahan lain iaitu lima menara baru dan gantian ‘fibre optic‘,” katanya hari ini.

Mohd Ali Hanafiah ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Sistem Communication Infrastructure Permit Management (CIPM) bersama Perbadanan Labuan (PL), di sini.

Sehubungan itu, beliau berkata, manfaat penambahbaikan itu akan diterima sekurang-kurangnya 6,000 premis di Labuan.

Sebelum ini, dilaporkan pelaksanaan JENDELA (2021-2025) bertujuan meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar 4G di seluruh negara.

Matlamatnya adalah untuk merapatkan jurang digital antara kawasan luar bandar dan bandar serta mencetuskan inovasi digital yang bakal membangunkan ekonomi digital. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas