Berita

AWC 2023 Labuan berjaya rekodkan lebih 20 spesies burung hijrah

BURUNG ‘whimbrel’ yang berjaya direkodkan oleh sukarelawan di pantai Nagalang Labuan.
- Diterbit 21 Januari 2023 4:30 AM MYT

LEBIH 20 spesies burung air berjaya direkodkan di Labuan dalam Program Asian Waterbird Census 2023 (AWC 2023) yang diselaraskan oleh Labuan Avian Group bersama Malaysian Nature Society (Cawangan Sabah), baru-baru ini.

Pemantuan yang dibuat di pantai Kg Nagalang dan pantai Kg Sg Labu melibatkan seramai tujuh orang sukarelawan terdiri daripada peminat birdwatching di Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut penyelaras program yang juga pengasas Labuan Avian Group, Noralip Hassanuddin, program yang dilaksanakan itu merupakan kegiatan tahunan yang bersifat sukarela, diadakan pada minggu ke-2 dan ke-3 dalam bulan Januari setiap tahun.

Di samping memantau dan mengumpul data populasi burung air di seluruh negara asian, kegiatan ini juga bertujuan untuk menarik minat masyarakat setempat mengetahui tentang habitat burung air yang agak unik dan menarik.

“Kali terakhir Labuan Avian Group menyertai AWC adalah pada tahun 2018, terhenti akibat pendemik COVID-19. Pada pertengahan tahun 2021 Labuan Avian Group kembali aktif dalam merekod dan merakamkan gambar spesies burung di sekitar Pulau Labuan,” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.

Sementara itu, Erwin Usdek merupakan salah seorang sukarelawan yang menyertai Program AWC 2023 merasa teruja apabila beliau berjaya merekodkan kehadiran spesies comman tren buat pertama kali di Pulau Labuan.

“Antara spesies burung air yang direkodkan adalah comman tren, comman sandpiper, Malaysia plover, kentish plover, greater sand plover, ruddy turnstone, sanderling, dan beberapa spesies lain,” katanya.

Seorang lagi sukarelawan yang ditemui, Damaisara Pimpilemba berkata kehadiran burung hijrah dari negara-negara Asian ke Pulau Labuan pada bulan September hingga April setiap tahun membolehkan Wilayah Persekutuan Labuan berpontesi untuk menjadi salah satu destinasi Bird Tourism di samping Sabah, Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.

Antara sukarelawan yang terlibat adalah Ruslan Alias; Ramlen Salleh; Asraf Sarmi dan Matthew Albanus. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas